Najib umum kenaikan tangga gaji, gaji minimum RM1,200 penjawat awam
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, Khamis – Pelaksanaan kenaikan satu tangga gaji bagi kakitangan awam atau penjawat awam pada 1 Julai ini sebagaimana yang dijanjikan dalam pembentangan Bajet 2016 akan dilaksanakan oleh Kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, meskipun Kerajaan berhadapan dengan bermacam tohmahan berhubung keadaan kewangan negara, pihaknya tetap meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai yang paling utama.
“InsyaAllah, bermula bulan Julai 2016, kenaikan satu tangga gaji dan gaji minimum RM1,200 kepada penjawat-penjawat awam seluruh negara akan mula dilaksanakan sepertimana yang telah saya umumkan dalam Bajet 2016 yang lalu.
“Usaha dan kerja keras penjawat-penjawat awam amat kerajaan hargai, dan saya harap dengan bantuan ini akan terus membakar semangat semua penjawat awam untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan negara dengan cemerlang, InsyaAllah,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini.
Kakitangan awam akan menerima gaji permulaan minima sebanyak RM1,200, melebihi paras gaji minimum kebangsaan di bawah langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam.
Skim tersebut yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai ini akan memperlihatkan kakitangan Gred 11 akan mendapat gaji permulaan sebanyak RM1,200 berbanding RM837 sebelum ini.
Digabungkan dengan elaun sedia ada, kakitangan gred ini akan menikmati gaji bulanan kira-kira RM1,500.
Gaji minimum kebangsaan adalah RM900 hingga RM1,000 sebulan di Semenanjung Malaysia manakala RM800 hingga RM920 untuk Sabah dan Sarawak.
The post Najib umum kenaikan tangga gaji, gaji minimum RM1,200 penjawat awam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan