Pinda Akta Mahkamah Syariah, bukan wujudkan undang-undang baharu: Annuar Musa

annuar_musa_2406_04_620_413_100KUALA LUMPUR, Rabu – Pembentangan usul Rang Undang-Undang (RUU) iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat, Khamis lepas, bukan bertujuan mewujudkan undang-undang baharu seperti digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, usul yang dibentangkan oleh Presiden PAS, yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 berkaitan dengan had jumlah hukuman.

Sesetengah pihak berpendapat had hukuman rotan, denda dan penjara ini sudah tidak sesuai malah tidak selari dengan syariat. Kali terakhir had ini dipinda ialah pada tahun 1984, iaitu 32 tahun lepas.

“Pindaan ini hanya terpakai kepada orang Islam di negara ini dan tidak membabitkan bukan Islam,” kata Annuar, yang juga Anggota Parlimen Ketereh, dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, usul ini membabitkan akta peringkat persekutuan dan ia masih tertakluk kepada persetujuan pemakaiannya kepada negeri kerana urusan agama terletak di bawah kuasa negeri.

Katanya, pindaan ini tidak ada kena mengena dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (11) Negeri Kelantan yang pernah dicadangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum ini.

Annuar berkata, adalah mustahak untuk memahami kedudukan perkara sebenar bagi mana-mana pihak yang ingin memberi reaksi terhadap perkara ini dan tidak melatah serta gagal mengawal emosi.

Abdul Hadi membentangkan usul tersebut dengan tujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2A, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhi hukuman berkaitan kesalahan-kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.  – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian