Sifat kurang hati-hati membawa celaka
Kemajuan teknologi hari ini dilihat telah banyak menaik taraf kehidupan manusia dalam banyak sudut. Pembinaan loji-loji minyak dan gas bersaiz mega, pengeluaran kereta yang lebih laju dan canggih, penciptaan bahan kimia yang pelbagai dan lain-lain. Namun, lebih maju teknologi membangun, kesan kecelakaan hasil daripadanya turut naik berganda.
Banyak malapetaka besar yang telah menimpa manusia dicatat oleh sejarah. Ia melibatkan jumlah korban yang sangat signifikan. Antaranya:
- Kebakaran besar pelantar minyak Piper Alpha pada 6/7/1988 menyebabkan 167 nyawa terkorban dan mengambil lebih 3 minggu untuk api dipadamkan sepenuhnya. Ia akibat kecuaian menggunakan saluran paip yang injap keselamatannya sudah tidak berfungsi.
- Lepasan gas toksik Methyl Isocyanite (MIC) di loji kimia Bhopal pada 2/12/1984 menyebabkan kematian 3787 dan lebih 500,000 penduduk sekitar terkesan. Disebabkan oleh kecuaian pekerja yang melakukan kerja penyelenggaraan paip, mengakibatkan air mengalir masuk ke dalam tangki MIC.
- Kemalangan maut di Malaysia sepanjang musim perayaan yang telah mengakibatkan 330 nyawa terkorban dalam tempoh hanya setahun. 90% disebabkan oleh kecuaian manusia. Ini berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh PERKESO melalui kajian kemalangan yang berlaku sepanjang hanya 7 kali OP SELAMAT bermula Aidilfitri 2014 hingga Aidilfitri 2015.
Jika diperhatikan, majoriti malapetaka yang berlaku boleh dielakkan selagimana ia disebabkan oleh kecuaian manusia. Kemalangan sangat mudah berlaku kepada dua golongan.
- Di kalangan mereka yang sangat baru kerana kurangnya pengetahuan dan pengalaman.
- Di kalangan mereka yang sangat lama kerana terlalu selesa walaupun di dalam suasana kerja atau pemanduan yang berbahaya.
Banyak yang telah dilakukan untuk mengelakkan malapetaka. Namun, satu elemen yang pasti ada untuk memperbaiki keadaan ialah meningkatkan sifat hati-hati. Di dalam Islam, sifat hati-hati ini saling tidak tumpah dengan sifat taqwa seperti yang dicatat dalam perbualan antara Saidina Umar dan Ka’ab bin Malik R.A.
Suatu hari, Saidina Umar Al-Khattab pernah bertanya kepada Ka’ab bin Malik:“Wahai Ka’ab, apakah makna taqwa?”
Ka’ab membalas, “Apakah yang kau lakukan apabila melalui satu jalan penuh dengan duri wahai Umar?”
Berkata Umar, “Aku sinsing kain jubahku, dan berjalan dengan berhati-hati agar tidak disakitinya”
Jawab Ka’ab, “Itulah taqwa”
Sifat hati-hati ini sangat berguna dalam banyak situasi. Pada sudut kerohanian, ia mengelakkan manusia terjerumus ke lembah dosa. Apabila syaitan ingin memujuk manusia melakukan dosa, ia tidak dilakukan dengan terus mengajaknya membuat dosa besar. Itu terlalu jelas. Kurang bijak. Syaitan bahkan akan memulakan dengan ajakan membuat perkara harus tetapi melalaikan. Seperti bermula dengan menonton televisyen berlebihan.
Tiada siapa akan menuduh televisyen menyebabkan meningkatnya aktiviti pelacuran. Asalnya ingin menonton TV Al-Hijrah, namun terbabas menonton AXN atau HBO. Daripada adegan yang disaring, manusia kemudian dihasut untuk mencari pula adegan tanpa saringan di internet. Anda boleh agak, ke mana seterusnya syaitan dan nafsu akan membawa anda pergi.
Pada sudut keselamatan, hati-hati mengelakkan kecuaian. Pada asalnya, mungkin hanya mengelak beberapa prosedur keselamatan yang tampak sungguh remeh untuk menjimatkan masa. Biasa digelar hero di tempat kerja dan di jalan raya menyebabkan mereka berasa kebal daripada kecelakaan. Namun apabila kurang perhatian, maka berlakulah “tertekan kuat pedal minyak di selekoh, tidak lepas memotong atau tersalah buka injap di kilang.”
Janganlah berasa malu untuk berhati-hati. Biar nampak seperti kurang skil, tetapi keselamatan terjaga. Biar nampak lemah, tetapi nyawa terpelihara. Biar nampak seperti anak-anak (tutup mata bila tertengok aurat dalam TV), tapi hati terjaga.
Semoga sifat hati-hati kita membawa manfaat di sepuluh malam akhir Ramadhan. Hati-hati daripada berasa diri sudah suci dari dosa sedangkan hanya Allah tahu betapa banyak dosa kita. Semoga selamat juga buat mereka yang akan memulakan perjalanan balik ke kampung halaman. Yang paling utama, semoga kita sama-sama selamat menuju jalan bahagia di akhirat.
Nurul Azmir B Nadzar
Ketua Pemuda,
ISMA Kemaman
30/6/2016
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan