1MDB: Henti gesa polis selesaikan siasatan, kata KPN
BANGI, Selasa – Polis tidak akan tergesa-gesa dalam menyelesaikan siasatan ke atas syarikat pelaburan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan ke atas syarikat sarat hutang itu mengambil masa yang panjang berikutan proses merekod kenyataan daripada saksi-saksi terlibat.
“Seperti yang saya katakan, siasatan masih diteruskan. Saya tahu sesetengah orang cuba untuk menggesa kami melengkapkan siasatan itu.
“Bagaimanapun, kami mengambil masa lebih daripada seminggu atau dua minggu untuk merekodkan kenyataan beberapa saksi kerana ada banyak dokumen yang perlu disemak,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Khalid berkata, rakyat tidak boleh menggesa pihak polis dalam menyelesaikan tugas-tugasnya termasuk membandingkan kerja PDRM dengan organisasi lain.
“Anda tidak boleh menggesa kami dalam melakukan kerja kami dan tidak bandingkan polis dengan organisasi lain.
“Jika anda mahu kami melakukan kerja yang baik, maka kami perlu lakukannya dengan betul,” katanya.
Sebelum ini, Khalid memaklumkan bahawa pihaknya hampir menyelesaikan proses mendapatkan keterangan daripada saksi dalam negara yang melibatkan lebih 25 orang individu.
Jabatan Kehakiman AS telah memfailkan saman menyita aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) dalam kes korupsi yang terbesar negara itu membabitkan entiti luar.
Saman yang difailkan di Los Angeles itu bertujuan merampas aset yang “terbabit dalam dan boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.
The post 1MDB: Henti gesa polis selesaikan siasatan, kata KPN appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan