1MDB kata penyata kewangan 2013, 2014 tak boleh diguna lagi
KUALA LUMPUR, Rabu – Syarikat pelaburan kontroversi negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), memutuskan penyata kewangannya bagi tahun 2013 dan 2014 yang telah diaudit tidak boleh lagi diguna pakai oleh mana-mana pihak, dengan memberi alasan tindakan itu sebagai ‘langkah berjaga-jaga’.
1MDB hari ini berkata, tindakan itu dibuat sementara menunggu penentuan akhir dan muktamad oleh mahkamah mengenai fakta dakwaan tertentu, sebagaimana dinyatakan dalam writ saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.
Dalam writ saman bagi merampas aset individu dan syarikat difailkan di Los Angeles, DoJ berkata, sejak 2009 sehingga 2015, lebih daripada AS$3.5 bilion (RM14.16 bilion) dana milik 1MDB diseleweng oleh pegawai-pegawai tinggi dan sekutu mereka.
“Dengan pemfailan permohonan ini, Amerika Syarikat dengan ini berusaha untuk mendapatkan semula lebih AS$1 bilion dana yang diubah secara haram melalui Amerika Syarikat dan boleh dikesan dan disahkan berkait dengan konspirasi ini.
“1MDB ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk mempromosi pembangunan ekonomi di Malaysia melalui perkongsian sejagat dan pelaburan terus asing, dan dananya sepatutnya digunakan untuk menambah baik kebajikan rakyat Malaysia,” kata kenyataan DoJ pada 20 Julai lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Lembaga 1MDB, bagaimanapun terus optimis bahawa tiada kesalahan yang dilakukan dan ingin mengambil langkah berjaga-jaga dengan memutuskan penyata kewangannya 2013 dan 2014 yang telah diaudit tidak boleh lagi diguna pakai oleh mana-mana pihak
“Walaupun lembaga terus yakin tidak ada salah laku telah dilakukan oleh 1MDB dan beberapa penyata kewangan lepas terus menunjukkan pandangan yang benar dan adil mengenai hal ehwal syarikat pada masa itu, lembaga telah memutuskan (tindakan) itu sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
1MDB juga berkata, ia komited untuk mencari juruaudit baharu untuk 1MDB bagi menggantikan Deloitte, yang sebelum ini telah memberitahu 1MDB hasratnya untuk berhenti pada 26 Februari 2016.
“Sehingga juruaudit baharu dilantik, Deloitte akan kekal sebagai juruaudit,” katanya.
The post 1MDB kata penyata kewangan 2013, 2014 tak boleh diguna lagi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan