Ahmad Razif hormati keputusan Ahmad Said tolak lantikan
KUALA TERENGGANU, Khamis – Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman menghormati keputusan Datuk Seri Ahmad Said menolak pelantikan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ahmad Razif berkata, pelantikan itu masih di peringkat awal dan ia diumumkan semalam dan surat pelantikan masih belum dikeluarkan.
“Terpulang kepada Ahmad Said untuk menolak atau sebaliknya.
“Sebagai menteri besar saya boleh melantik siapa-siapa di bawah kuasa tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Polis Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.
Ahmad Said dalam sidang media hari ini mengumumkan menolak pelantikan itu.
Semalam, Ahmad Razif mengumumkan penstrukturan semula portfolio anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang melibatkan beberapa pertambahan dan pertukaran tugas.
Penstrukturan berkenaan akan berkuat kuasa 1 Ogos dan ia tidak melibatkan perubahan dari segi jumlah keanggotaan exco.
Ahmad Razif berkata, langkah yang dilaksanakan itu bagi memberi pengalaman baharu kepada barisan Exco untuk mempelbagaikan fungsi mereka sekaligus memantapkan pentadbiran kerajaan negeri.
“Fokus kita untuk memantapkan pentadbiran kerajaan negeri supaya terus bergerak maju dan kita juga menerima apa jua keputusan barisan Exco yang dilantik itu…kita tunggu sehingga surat pelantikan dikeluarkan nanti,” katanya. – Bernama
The post Ahmad Razif hormati keputusan Ahmad Said tolak lantikan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan