Ancaman Militan: Saringan awal tapis kemasukan warga asing

kliaa

ULAANBAATAR, (Mongolia), Khamis – Walaupun Kabinet menolak cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengeluarkan visa kepada rakyat Timur Tengah yang memasuki Malaysia, tapisan terhadap warga asing akan dilakukan melalui ‘Sistem Saringan Awal Penumpang’ (APSS) bagi mengekang kemasukan kumpulan militan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata APSS akan membolehkan maklumat lengkap mengenai warga asing, termasuk pelancong diperoleh di tempat mereka berlepas dan pintu masuk secara ‘masa nyata’.

Katanya, sistem APSS yang menghubungkan data daripada pelbagai pihak seperti Interpol dengan Jabatan Penerbangan Awam dan syarikat penerbangan, juga membolehkan pihak berkuasa mengesan pasport dan dokumen perjalanan palsu.

“Kita sedang dalam peringkat formaliti pelaksanaan. Tiga perempat daripada negara di dunia melaksanakan sistem ini, dan kita akan bawa ke Majlis Ekonomi Negara dan Kabinet untuk diputuskan tarikh pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas tiba di sini hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) kali ke-11.

Rabu lalu, Kabinet menolak cadangan MKN untuk mengeluarkan visa kepada rakyat Timur Tengah yang memasuki Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat kerana adalah tidak adil untuk mengeluarkan visa kepada rakyat dari Timur Tengah yang merupakan antara pelancong terbesar ke Malaysia dan menyumbang RM2.6 bilion kepada pertukaran mata wang asing.

Katanya, Jabatan Imigresen mempunyai sumbernya sendiri untuk mengekang kemasukan kumpulan militan Daesh ke Malaysia, sambil menambah kumpulan militan bukan hanya datang dari rantau berkenaan, tetapi juga beberapa negara jiran.

Beliau juga berkata, 138 militan yang ditahan di penjara dan depoh tahanan hasil kerjasama polis dengan Interpol dan agensi perisikan lain akan dipindahkan ke Pusat Tahanan Kemunting.

“Mereka akan diasingkan daripada banduan lain dan ditahan di blok khas di Kamunting. Ini untuk mengelak mereka (daripada) mempengaruhi tahanan lain,” katanya. – Bernama

The post Ancaman Militan: Saringan awal tapis kemasukan warga asing appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?