Asyraf Wajdi minta NGO Islam tak terbabit politik
KOTA BHARU, Ahad – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan Islam disaran agar bersikap ‘non-partisan’ dengan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ini penting supaya pertubuhan itu kekal sebagai ejen pendesak terutama apabila ada sesuatu masalah berkaitan Islam dibangkitkan
“Dalam hal yang melibatkan Islam dan kepentingan Islam, tidak kira kita dari parti (dan pertubuhan) mana, ideologi mana… kita seharusnya wajib bersama, senada dan satu suara.
“Dalam konteks ini NGO Islam mesti memainkan peranan mereka sebagai kumpulan yang sentiasa memberi pencerahan dan kesedaran bagi mengimbangkan antara parti-parti politik yang bertelingkah,” katanya selepas merasmikan Wacana dan Sambutan Hari Raya NGO-NGO Islam Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, NGO Islam harus berjuang berasaskan kebenaran selain meletakkan anjuran agama supaya sentiasa bekerjasama dalam hal melibatkan Islam.
“Inilah yang seharusnya dimainkan oleh NGO dan cendekiawan Islam dan tidak seharusnya mereka mengikat diri mereka dengan mana-mana sentimen atau idealogi.
“Saya secara peribadi melihat wujud kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk berpolitik dan berparti serta wujud kecenderungan untuk menyokong (sesuatu parti) tanpa berteraskan satu sikap yang objektif,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini sudah jarang kedengaran NGO Islam yang mendesak parti-parti yang diwakili oleh orang Melayu supaya duduk semeja dan berjuang bersama.
Katanya, perkara itu berpunca daripada tindakan NGO yang mengikat diri mereka dengan parti politik tertentu. – Bernama
The post Asyraf Wajdi minta NGO Islam tak terbabit politik appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan