Bas ekspres wajib pasang alat had laju
BENTONG: Semua bas ekspres di negara ini diwajibkan memasang alat khas penghad kelajuan (speed limiter) dalam usaha kerajaan untuk mengatasi kekerapan kes kemalangan yang membabitkan kenderaan awam pada musim perayaan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, peraturan itu akan dikuatkuasakan serta-merta, tetapi secara berperingkat-peringkat.
Untuk peringkat awal semua bas baharu perlu dipasang dengan alat itu tanpa sebarang pengecualian.
“Saya telah memberi arahan kepada semua termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom (Puspakom Sdn Bhd) supaya semua bas baharu perlu memasang alat penghad laju ini dan tidak boleh lagi dikecualikan.
“Ia akan dilaksanakan serta merta dan kita minta semua bas ekspres apabila tiba masa pemeriksaan Puspakom, mereka perlu memasang alat ini,” katanya kepada media hari ini.
Katanya, peraturan itu dilaksanakan selepas mendapati sikap sesetengah pemandu bas yang gemar memandu laju tanpa mematuhi had ditetapkan di semua jalan-jalan utama di negara ini mengakibatkan kemalangan yang mengorbankan banyak nyawa.
Dalam kemalangan baru-baru ini, 10 buah kenderaan dirempuh oleh sebuah bas ekspres di Kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara Selatan selepas kenderaan itu dipercayai mengalami masalah brek semasa menuruni laluan berbukit.
Bagaimanapun semua penumpang bas berkenaan tidak cedera. – Bernama
The post Bas ekspres wajib pasang alat had laju appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan