Bilangan doktor wanita dalam bidang O&G perlu ditambah
KUALA LUMPUR, Rabu – Cadangan kerajaan untuk mengkhususkan doktor wanita sahaja menyambut kelahiran bayi di hospital awam adalah satu cadangan yang ideal namun agak sukar dilaksanakan meskipun dalam jangka masa panjang.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr Murizah Mohd Zain berkata kekurangan doktor wanita dalam bidang ini perlu diatasi dengan menambah bilangan doktor dari gender tersebut untuk berkhidmat di dalam bidang ini.
“Jumlah doktor wanita yang berada dalam bidang ini masih kecil berbanding doktor lelaki dan di kebanyakan tempat di negara ini, bidang Obstetrik dan Ginekologi (O&G) banyak diterajui oleh Ketua Jabatan dari kalangan doktor lelaki.
“Hampir 80 peratus kes bersalin dikategorikan sebagai kes berisiko rendah dan boleh dikendalikan oleh jururawat wanita.
“Kes bersalin yang mempunyai komplikasi pula akan dikendalikan oleh doktor yang bertugas mengikut jadual dan tidak semestinya akan dirawat oleh doktor wanita,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Dr Murizah berkata dalam keadaan kritikal sebegini, orang ramai perlu menggunakan opsyen sedia ada, doktor wanita/lelaki yang bertugas, bagi mengelak ancaman nyawa kerana pihak hospital sentiasa mengutamakan keselamatan pesakit.
Sementara itu, beliau berkata hospital awam merupakan tempat latihan wajib bagi pelajar perubatan dan O&G merupakan bidang yang wajib dipelajari oleh doktor siswazah serta memakan masa hampir 4 hingga 6 bulan untuk dipelajari.
Katanya, ini perlu bagi melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dalam bidang ini dan sebagai persediaan untuk berkhidmat di mana-mana hospital.
“Bagi melahirkan doktor wanita yang pakar dalam bidang O&G pula, ia merupakan hal yang mencabar kerana beban tugasannya yang besar.
“Menyelamatkan dua nyawa iaitu ibu dan anak bukan sahaja memerlukan ketahanan fizikal malah ketahanan mental dan emosi juga penting dan ilmu tersebut diperoleh melalui latihan intensif sewaktu pengajian dan juga semasa bertugas sebagai doktor,” katanya.
Dr Murizah berkata bidang O&G juga merupakan bidang yang luas dan mempunyai pelbagai cabang subkepakaran seperti Gine-Onkologi yang merupakan cabang sukar serta mengambil tempoh masa pembedahan yang lama.
Selain itu, katanya, proses mendalami bidang ini (Gine-Onkologi) juga mengambil masa yang lama sekitar dua hingga tiga tahun.
“Bagi menggalakkan lebih ramai doktor wanita untuk berkhidmat di dalam bidang ini, pihak kerajaan boleh memberi beberapa insentif seperti menyediakan pusat jagaan kanak-kanak berhampiran dengan tempat kerja untuk memudahkan mereka menjalankan tugasan di hospital.
“Selain itu, kerajaan juga boleh memikirkan untuk memberi elaun khas kepada doktor wanita bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang ini dan para suami pula dinasihatkan agar memberi kerjasama dan sokongan dari sudut fizikal dan moral untuk mendorong isteri menceburi bidang perubatan ini,” katanya.
Tambahnya lagi, ibu-ibu mengandung juga perlu memahami kekangan sedia ada iaitu kekurangan doktor wanita di hospital berkenaan dan memohon dengan cara yang baik kepada petugas hospital sekiranya memerlukan khidmat doktor wanita kerana penjagaan nyawa menjadi keutamaan.
“Jangan kerana ingin menjaga aurat, anda mengambil langkah bahaya untuk bersalin di rumah dan mengundang bahaya kepada nyawa ibu dan anak. Jadilah masyarakat yang tidak memberi tekanan keterlaluan terhadap sistem perubatan yang ada.”
Beliau turut menyarankan pihak kakitangan hospital agar menjaga etika kerja dengan memelihara aurat pesakit terutamanya bagi yang berlainan jantina.
“Jika doktor berlainan jantina melakukan pemeriksaan, haruslah memastikan ada peneman atau kakitangan hospital lain. Berilah perkhidmatan yang terbaik kepada pesakit anda sepertimana anda melayan anggota keluarga anda,” katanya.- Bernama
The post Bilangan doktor wanita dalam bidang O&G perlu ditambah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan