Dakwa guling Najib: Polis teliti asas laporan sebelum ambil tindakan
BANGI, Rabu – Polis mahu meneliti asas laporan yang dibuat Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berhubung dakwaan terdapat konspirasi menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan meneliti laporan itu terlebih dahulu sebelum melaksanakan langkah seterusnya.
“Kita mahu tahu asas laporan itu terlebih dahulu.
“Kita masih belum memanggil ketiga-tiga individu untuk disoal siasat,” katanya seperti dilapor mStar Online, hari ini.
Bagaimanapun, sehingga setakat ini, Khalid berkata pihaknya masih belum merakamkan sebarang kenyataan daripada pengadu.
Sebelum ini, satu laporan polis telah dibuat oleh Khairul Azwan terhadap bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
Beliau membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi berikutan mendakwa tiga individu tersebut dipercayai terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan Malaysia.
Dalam laporan itu, tiga individu itu didakwa telah memberi maklumat sulit kepada agensi-agensi luar termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Khairul menggesa pihak polis untuk menyiasat perkara itu dengan teliti.
Beliau turut mendakwa bahawa dokumen-dokumen palsu telah dikemukakan dan maklumat telah dimanipulasi untuk memenuhi agenda mereka.
The post Dakwa guling Najib: Polis teliti asas laporan sebelum ambil tindakan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan