Empat suspek kes tembak di Setapak masih dalam negara
KUALA LUMPUR, Khamis – Polis percaya empat suspek yang terlibat dalam kes tembak di Jalan Taman Ibu Kota, Setapak semalam masih berada dalam negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya kini giat memburu dan berharap dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat.
“Kita akan buru kesemua suspek, mereka tidak akan ke mana-mana,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kedai serbaneka KPD Mart di Kolej Unicorp, Batu Caves.
Semalam, seorang lelaki maut selepas ditembak dua lelaki bersenjata selepas diserang ketika mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Berdasarkan satu rakaman cctv, empat lelaki yang menunggang dua buah motosikal mendekati kereta mangsa dan melepaskan beberapa tembakan.
Seorang suspek telah melepaskan tembakan di sebelah tingkap pemandu manakala seorang lagi suspek ke arah sebelah penumpang bahagian hadapan.
Difahamkan, mangsa mati di tempat kejadian berikutan 12 das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan.
The post Empat suspek kes tembak di Setapak masih dalam negara appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan