Guru diberi amaran elak salah guna alat komunikasi hina pemimpin
BACHOK, Khamis – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan memberi amaran dan peringatan kepada lebih 35,000 guru di negeri ini supaya tidak menyalahguna alat komunikasi dengan menyebarkan penghinaan terhadap pemimpin di laman sosial.
Pengarahnya, Datuk Ab Aziz Abdullah berkata, perbuatan menghina pemimpin bukan saja melanggar etika kerja malah Islam sendiri melarang melakukan perbuatan itu.
“Saya nasihat guru tidak menggunakan alat komunikasi untuk sebar perkara yang boleh menjatuhkan imej guru dan menjejaskan keamanan negara dan tindakan merendahkan pemimpin negara tidak wajar dilakukan penjawat awam terutamanya golongan pendidik yang dihormati masyarakat.
“Kita juga memberi arahan kepada semua pengetua dan guru besar supaya memastikan guru tidak terbabit dalam aktiviti yang menyalahi peraturan menerusi media sosial,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman beliau di Kampung Teratak Pulai, di sini, sebentar tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai pendidik yang menjadi golongan dihormati masyarakat adalah tidak wajar mereka menyebarkan sesuatu yang memalukan seperti merendahkan maruah pemimpin dan perbuatan tidak bermoral.
“JPN dan Kementerian Pendidikan akan memantau perkara ini dan sudah mengeluarkan pekeliling berkaitan penggunaan media sosial seperti Facebook supaya tidak menyebarkan maklumat dan tulisan yang melanggar peraturan,” katanya.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Seksyen Kota Bharu, semalam yang menjatuhkan hukuman dua tahun penjara ke atas seorang guru, Nik Aidid Nik Mat kerana menyiarkan gambar berunsur lucah dan palsu membabitkan pemimpin negara dan memiliki video lucah pada tahun 2014 yang dituduh di mahkamah kelmarin.
The post Guru diberi amaran elak salah guna alat komunikasi hina pemimpin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan