Institusi mufti perlu dilindungi dari terus dipertikai: MDN
BANGI, Selasa – Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN),Prof Emeritius Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid menegaskan bahawa institusi mufti perlu dilindungi daripada terdedah dengan isu-isu yang menjadi pertikaian masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.
Katanya, dalam setiap negeri hanya Sultan dan Mufti diletakkan pada kedudukan yang sangat dihormati dalam masyarakat Islam.
“Justeru, jika kedudukan itu tidak dilindungi dan dijaga, dua institusi berkenaan akan terus dipertikai oleh masyarakat,” katanya memetik Malaysia Dateline.
Beliau berkata demikian mengulas isu yang membabitkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman apabila dihentam pelbagai pihak selepas mengeluarkan kenyataan bahawa adalah haram dan berdosa besar bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP.
Dr Mahmood berkata, hakikatnya setiap isu yang timbul membabitkan umat Islam dalam kalangan mufti amat perlu bersatu untuk menyatakan pendirian melalui insitusi rasmi seperti Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Apa yang penting ia bukan bersifat kenyataan peribadi yang boleh mencemar insititusi yang didokong oleh mufti-mufti lain di negara ini.
“Seorang mufti kena faham mereka mewakili masyarakat. Jika nak bercakap kena dalam ruang lingkup kebenaran oleh jawatankuasa majlis fatwa negeri atau pusat,” katanya.
The post Institusi mufti perlu dilindungi dari terus dipertikai: MDN appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan