IS guna ayat cinta sebagai perangkap
MELAKA, Selasa – Anggota kumpulan militan IS kini menggunakan taktik baru dengan menjanjikan ayat-ayat cinta untuk menarik lebih ramai orang awam menyertai kumpulan mereka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, kecanggihan teknologi masa kini dengan kecanggihan telekomunikasi memudahkan lagi kumpulan IS ini menjalankan peranan mereka.
“Mereka menyebarkan fahaman dengan ayat cinta sehingga sesiapa pun boleh jatuh hati. Mulanya mereka menggunakan kenyakinan agama, kemudian organisasi dan akhir sekali menggunakan perasaan.
“Misalnya seorang lelaki, mereka menggunakan ayat-ayat manis ‘kalau awak sayang saya, awak ingin bersama saya, awak lakukan ini. Ambil barang ini dan hantarkan ke tempat tertentu’, jadi wanita ini terpengaruh lalu mengambil sebuah beg misalnya dan dia pun tidak tahu apa isi kandungnya.
“Lalu dia pun letak di lokasi tertentu umpamanya. Pada malamnya, kita dengar tempat tersebut sudah meletup sebab semua bahan ini boleh dikawal secara jarak jauh. Itu yang kita khuatir, bahkan saya yakin pihak keselamatan pun menyatakan kebimbangan sama perkara ini boleh berlaku di mana-mana,” katanya kepada pemberita, semalam.
Idris dalam masa yang sama melahirkan kebimbangan terhadap ancaman kumpulan IS ini apabila kumpulan itu dikatakan bergerak tanpa struktur yang jelas.
“Yang mengerikan, kumpulan ini tidak mempunyai struktur jelas. Jadi setiap perkara yang berlaku masing-masing menuntut mereka dari kumpulan yang sama.
“Bila mereka tidak mempunyai organisasi yang jelas, kita tiada ruang untuk menyerang balas dan membentuk mekanisme pertahanan kita dengan tepat kerana dia boleh datang dari pelbagai sudut,” katanya.
The post IS guna ayat cinta sebagai perangkap appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan