Isu 1MDB: Singapura pula sita aset bernilai RM717.28 juta, separuh milik Jho Low, keluarga

photo_2016-07-21_14-50-36

BANGI, Khamis – Selepas Amerika Syarikat, kini Singapura pula menyita aset bernilai S$240 juta (RM717.28 juta) yang mana separuh daripadanya adalah milik ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) dan keluarga terdekatnya, berhubung siasatan mereka terhadap pergerakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jabatan Peguam Negara Singapura, Jabatan Ehwal Perniagaan (CAD) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mendedahkan perkara itu sebagai respon kepada tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk menyita aset berjumlah AS$1 bilion (RM4.06 bilion) yang berkait dengan konspirasi antarabangsa untuk membersihkan dana 1MDB yang diseleweng.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Jabatan Peguam Negara Singapura, CAD dan MAS berkata, mereka masih meneruskan siasatan dari pelbagai sudut berhubung aliran dana berkaitan 1MDB yang melalui negara itu bagi melihat kemungkinan berlaku pengubahan wang haram, penipuan sekuriti, penipuan dan kesalahan lain.

Semalam, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman sivil untuk menyita pelbagai aset milik individu dan syarikat, berikutan siasatan mereka mengenai pengubahan wang haram dan penyelewengan yang dikaitkan dengan 1MDB.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu ialah anak kepada isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya – Riza Shahriz Abdul Aziz -; Jho Low; Tan Kim Loong (rakan sekutu Jho Low – pemilik beberapa akaun bank di mana dana 1MDB yang diseleweng dipindahkan) dan pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi serta Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.

Selain itu, ketiga-tiga agensi terbabit juga mendapati kesilapan dalam kawalan pengubahan wang haram di beberapa institusi kewangan di negara itu, termasuk oleh Bank Pembangunan Singapura (DBS Bank), cawangan Standard Chartered Bank di Singapura dan firma kewangan Swiss – UBS.

Ketiga-tiga institusi kewangan itu akan dikenakan tindakan, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa akaun bank milik pelbagai individu telah disita dan urusan mengenai hartanah miliki beberapa individu terbabit turut disekat.

Aset yang disita itu berjumlah S$240 juta. Ini termasuk akaun bank dan hartanah bernilai kira-kira S$120 juta milik Jho Low – pembiaya Malaysia dan orang kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak – dan keluarga terdekatnya, lapor Berita Harian Singapura, hari ini.

photo_2016-07-21_14-50-39

“Kami ambil perhatian kenyataan Peguam Negara AS pada 20 Julai 2016, yang bertindak untuk merampas dan mendapatkan semula aset berlinah lebih AS$1 bilion yang dikaitkan dengan konspirasi antarabangsa untuk menyalurkan dana yang ada kaitan dengan 1MDB,” kata mereka.

“Siasatan Singapura bermula pada Mac 2015 dan masih berjalan,” kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa Singapura juga menyebut satu nama baru dalam siasatan mereka – Raffles Money Change (RMC) – pengurup wang dan ejen pengiriman wang berlesen.

MAS sedang memuktamadkan tindakan kawal selia terhadap RMC, dan siasatan terhadap institusi kewangan lain sedang berjalan.

Ketiga-tiga agensi Singapura itu berkata, aliran dana yang disiasat termasuk yang ada kaitan dengan Good Star Limited (Seychelles), Aabar Investments PJS Limited (BVI), Aabar Investments PJS Limited (Seychelles), dan Tanore Finance Corp (BVI).

Siasatan jenayah oleh CAD disasarkan kepada individu yang disyaki melakukan kesalahan di Singapura berkaitan aliran itu, manakala MAS menyiasat institusi kewangan di mana dana berkenaan mengalir bagi memastikan apakah berlaku perlanggaran peraturan dan kecuaian kawalan.

MAS juga melaporkan mereka sudah menyelesaikan siasatan ke atas DBS dan cawangan Singapura Standard Chartered Bank serta UBS dan sedang memuktamadkan penilaiannya.

“Penemuan awal ialah terdapat contoh kegagalan kawalan dalam ketiga-tiga bank, dan dalam beberapa kes, kelemahan dalam proses menerima dan memantau urus niaga pelanggan. Terdapat juga kelewatan dalam mengesan dan melaporkan urus niaga mencurigakan,” katanya. – Agensi

The post Isu 1MDB: Singapura pula sita aset bernilai RM717.28 juta, separuh milik Jho Low, keluarga appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?