Jemaah haji perlu beri maklumat tepat mengenai kesihatan
KUALA LUMPUR, Jumaat – Jemaah haji perlu memberi maklumat yang betul semasa pemeriksaan kesihatan bagi memudahkan doktor membuat diagnosis yang tepat semasa di Tanah Suci.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan adanya maklumat yang tepat mengenai kesihatan jemaah haji, doktor juga dapat menentukan sama ada mereka memerlukan rawatan lanjut di hospital untuk menstabilkan penyakit kronik yang dihidapi.
“Bagi jemaah haji yang penyakit kroniknya tidak stabil dan tidak terkawal sehingga hampir waktu untuk bertolak ke Tanah Suci adalah disarankan untuk menangguhkan pemergian mereka ke Tanah Suci ke tahun hadapan bila keadaan penyakit kroniknya telah stabil, dan maklumkan kepada pihak Lembaga Tabung Haji mengenai perkara itu,” katanya kepada Bernama di sini.
Dr Noor Hisham berkata ibadah haji adalah ibadah fizikal dan jemaah haji perlu melakukan senaman berjalan kaki secara perlahan-lahan sejauh satu kilometer, dan ditingkatkan sehingga mereka dapat berjalan lima kilometer tanpa sebarang masalah.
“Latihan fizikal ini dapat meningkatkan stamina jemaah haji untuk melaksanakan haji. Sekiranya jemaah haji mengalami kesukaran bernafas, sakit dada, atau tidak selesa, hendaklah mereka mendapatkan pandangan daripada doktor di klinik yang berhampiran,” katanya.
Beliau berkata jemaah haji perlu memastikan mendapat rehat dan tidur mencukupi, memakan makanan yang seimbang dan mengamalkan kebersihan diri setiap masa termasuk membasuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas.
Bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan mempunyai penyakit sistem pernafasan atau penyakit kronik, mereka digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin pneumococcal 23 valen dan vaksin influenza bagi mengurangkan risiko untuk mendapat radang paru-paru (pneumonia) yang teruk semasa di Tanah Suci, katanya.
Dr Noor Hisham berkata bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik perlu memastikan bekalan ubat yang mencukupi dibawa dalam beg sandang, dan mengambilnya mengikut waktu dan dos yang ditetapkan, selain melakukan ibadah sunat mengikut kemampuan dan menggunakan kerusi roda sekiranya tidak mampu berjalan.
Bagi mereka yang mengidap penyakit kencing manis, digalakkan memakai stokin dan kasut yang longgar serta lembut untuk mengelakkan luka pada bahagian kaki, dan yang menerima rawatan insulin pula perlu membawa insulin mereka dalam thermos yang diletakkan ais bagi memastikan keberkesanan insulin tersebut, katanya.
Dr Noor Hisham juga menyarankan jemaah haji memakai topeng muka di tempat yang berhabuk untuk mencegah dan mengurangkan risiko jangkitan saluran pernafasan, selain meminum air sekurang-kurang tiga hingga empat liter setiap hari.
Beliau turut menasihatkan jemaah haji supaya tidak membeli makanan yang dijual di kaki lima jalan kerana dikhuatiri tahap kebersihan penyediaan makanan tersebut.
Jemaah haji juga disarankan supaya tidak mengunjungi ladang unta atau haiwan atau meminum susu, air kencing unta, memakan daging unta atau berkunjung ke tempat penyembelihan haiwan korban kerana aktiviti ini boleh memberi risiko untuk mendapatkan jangkitan MERS-CoV, katanya.
Dr Noor Hisham juga menasihatkan jemaah supaya mengelakkan memakai pakaian yang tebal di waktu siang, dan memakai pakaian tebal hanya di waktu malam dan subuh semasa ke masjid atau berada di luar tempat penginapan.
“Elakkan juga berpanas di bawah cahaya matahari yang terik dalam masa yang lama kerana ia boleh menyebabkan jemaah haji terkena kelesuan haba dan strok haba,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata bagi musim haji tahun ini, Kementerian Kesihatan menghantar seramai 251 petugasnya, termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, pembantu perubatan, jururawat, pegawai farmasi, jurupulih anggota, juru x-ray, dan pegawai dietetik bagi membantu pasukan perubatan dan kesihatan Tabung Haji.
Pada tahun ini, seramai 22,320 jemaah haji dari Malaysia akan mengerjakan ibadah haji dengan kumpulan pertama akan berlepas pada Khamis depan.- Bernama
The post Jemaah haji perlu beri maklumat tepat mengenai kesihatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan