Johor sasar persiapkan 40 peratus pelajar tahfiz negeri sebagai ulama

Datuk Nooh Gadut
MUAR, Jumaat – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bercadang untuk mempersiapkan 40 peratus pelajar tahfiz di negeri ini sebagai ulama, manakala baki 60 peratus lagi bagi memenuhi pasaran kerja profesional berlandaskan syariat Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Justeru, Penasihat MAINJ Datuk Nooh Gadut berharap Maahad Tahfiz Quran (MTAQ) Al-Muttaqin di Bukit Pasir di sini yang diwakafkan kepada mereka sebelum ini, dapat menyediakan pelajarnya dengan kemahiran pelbagai bahasa meliputi Bahasa Melayu, Arab, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Dalam usaha melahirkan hafiz yang berkebolehan, mereka (pelajar) juga perlu dilatih sebagai pemidato dan pembahas yang terbaik bagi membolehkan mereka berhujah dalam apa sahaja isu termasuk ajaran sesat atau isu-isu yang menyebabkan percanggahan pendapat,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri MTAQ Al-Muttaqin di Batu 6, Bukit Pasir, hari ini.

Nooh berkata beliau percaya MTAQ Al-Muttaqin mampu melaksanakan hasrat terbabit memandangkan pusat tahfiz itu sudah berazam untuk melahirkan generasi al-Quran yang bertaqwa, intelek dan berdaya saing bagi mendepani zaman di peringkat nasional dan global.

Katanya Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (IASWJ) yang bertindak sebagai badan pelaksana sistem Jaminan Kualiti Tahfiz Johor (JQTA) akan sentiasa memantau kualiti dan modul pengajian di pusat tahfiz tersebut bagi memastikan ia berpegang teguh pada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan aliran Al-Asy’ariah dan Al-Maturidiyah.

Nooh, yang merupakan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah dan Pemegang Amanah MTAQ Al-Muttaqin, berkata kelebihan pusat itu berbanding pusat-pusat tahfiz yang lain bukan hanya terletak pada usaha mengguna pakai sistem JQTA, malah disebabkan ia memiliki pengurusan dan tenaga pengajar berkelayakan dan terlatih, selain dilengkapi bangunan serta fasiliti lengkap.

Pusat tahfiz bernilai RM4 juta itu diwakafkan kepada MAINJ oleh pengasasnya Datuk Azman Mohd Arof yang juga pengendali Syarikat Bas Ekspres Mayang Sari Sdn Bhd. – Bernama

The post Johor sasar persiapkan 40 peratus pelajar tahfiz negeri sebagai ulama appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?