Kadar baharu tempat letak kereta DBKL berkuatkuasa Isnin
KUALA LUMPUR, Sabtu – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyelaras semula kadar harga tempat letak kereta selepas menerima pelbagai kritikan berhubung kenaikannya.
Kadar baharu itu susulan pengumuman Kementerian Wilayah Persekutuan mahu meneliti semula keputusan kenaikan caj parkir sebanyak 150 peratus yang diperkenalkan dan dikuatkuasakan DBKL pada 16 Julai lepas.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kadar baharu itu akan berkuat kuasa pada Isnin depan.
“Bagi pengguna di kawasan pusat bandar yang membuat bayaran secara tunai, caj RM1.50 dikenakan pada jam pertama dan RM2.50 pada jam kedua dengan tempoh parkir maksimum dua jam.
“Bagi kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi antaranya Sentul, Bangsar dan Brickfields, bayaran tunai dikenakan bagi jam pertama dan seterusnya hanya RM1.
“Sementara bayaran caj tunai bagi kawasan luar pusat bandar seperti Segambut, Taman Tun Dr Ismail, Setiawangsa, Sungai Besi dan Bandar Tun Razak pada jam pertama dan seterusnya ialah 80 sen,” katanya dalam kenyataan semalam.
Bayaran tunai tersebut melibatkan kaedah pembayaran menggunakan syiling, Touch ‘N’ Go dan aplikasi telefon bimbit.
Melalui pengumuman kadar baharu itu juga, DBKL dan kementeriannya turut menetapkan hanya kawasan pusat bandar mempunyai tempoh parkir maksimum dua jam berbanding sebelum ini melibatkan semua parkir awam di ibu kota.
Beliau berkata, bagi pengguna parkir untuk jangka sederhana dan panjang, DBKL turut memperkenalkan sistem pembayaran secara pas bulanan yang dapat dilanggan secara dalam talian pada kadar amat berpatutan.
“Kadar bayaran pas bulanan di kawasan pusat bandar ialah RM300 sebulan, manakala kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan kawasan luar pusat bandar ialah RM150 sebulan.
“Ketiga-tiganya melibatkan tempoh pembelian dari satu hingga tiga bulan dan pembelian pas bulanan ini boleh dilakukan mengikut kesesuaian dan keselesaan pengguna tanpa perlu beratur atau ke lokasi tertentu untuk membuat pembelian,” katanya.
Manakala bagi petak khas pula, caj RM400 sebulan dikenakan di kawasan pusat bandar, RM240 di kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan RM200 di kawasan luar pusat bandar.
Katanya, pelaksanaan kadar baharu yang dinilai semula itu mengambil kira pelbagai keperluan pengguna dan berlandaskan prinsip ‘menggerakkan orang awam, bukan saja kenderaan’ (moving people, not just vehicles).
“Menjadi hasrat DBKL apabila seluruh perancangan terlaksana kelak, warga kota akan menikmati satu sistem aliran lalu lintas yang lebih lancar dan efisien,” katanya.
Selain itu, beliau berkata orang ramai yang ingin membuat pembelian pas bulanan dan mengetahui maklumat lanjut mengenai kemudahan disediakan DBKL boleh melayari portal www.citypark.my.
The post Kadar baharu tempat letak kereta DBKL berkuatkuasa Isnin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan