Kenapa umat Islam berpecah?

1. Manusia memang Allah Taala ciptakan berbeza antara satu sama lain. Apabila kita sebut manusia, maka ia merentas semua agama dan bangsa.

2. Bagaimanapun, terdapat perbezaan yang boleh diterima dan perbezaan yang tidak boleh diterima. Perbezaan yang tidak boleh diterima ialah dalam perkara-perkara bersifat prinsip, kerana sesiapa yang melanggar prinsip maka ia bukan sahaja membinasakan diri sendiri, malah membawa kerosakan kepada alam semesta (terutamanya umat manusia), segera atau lambat laun.

3. Prinsip merupakan undang-undang universal, semua manusia perlu patuh pada prinsip. Sebagaimana manusia perlu oksigen untuk hidup, manusia juga perlu sembah hanya Allah Taala untuk selamat. Kedua-duanya adalah prinsip; undang-undang universal atau sunnatullah. Melanggar prinsip bermakna binasa, segera atau lambat laun.

4. Hakikat manusia perlu oksigen untuk hidup diketahui secara tabii, tetapi untuk mengetahui hakikat manusia perlu sembah hanya Allah Taala untuk selamat perlu kepada gabungan proses berfikir dan wahyu. Itu sahaja bezanya, yang menyebabkan manusia yang beriman dan muslim menerima kedua-duanya, manakala yang tidak beriman dan tidak muslim menerima hakikat yang pertama sahaja.

5. Manusia yang tidak beriman dan tidak muslim, berpecah daripada manusia yang beriman dan muslim dalam perkara prinsip, dan dalam masa yang sama berpecah sesama mereka dalam pelbagai agama dan kepercayaan sebagaimana yang kita tahu, cerita mengenainya panjang dan bercabang. Termasuk dalam kategori ini ialah mereka yang tidak percaya pada tuhan langsung dan tidak mahu beragama langsung, sebenarnya itu pun satu kepercayaan dan satu bentuk agama.

6. Manusia yang beriman dan muslim pula bersatu pada perkara prinsip, tetapi berbeza pada perkara cabang. Sebagai contoh, mereka bersatu bahawa al-Quran dan Sunnah itu rujukan utama Islam tetapi mereka berbeza dalam memahami al-Quran dan Sunnah. Perbezaan dalam memahami al-Quran dan Sunnah memang berlaku, bahkan di kalangan para sahabat sendiri.

7. Bagaimanapun, perbezaan itu tidak sekali-kali meruntuhkan prinsip bahawa al-Quran dan Sunnah itu rujukan utama. Ini disebabkan mereka tidak melanggar prinsip kepada prinsip. Prinsip kepada prinsip ialah memahami perincian dan keseluruhan al-Quran dan Sunnah, yang membawa kepada memahami kehendak Syarak.

8. Tidak semua sahabat menghafaz al-Quran dan tidak ada sesiapa di kalangan sahabat yang menguasai keseluruhan Sunnah. Bermakna tidak semua memahami perincian dan keseluruhan al-Quran dan Sunnah.

9. Bagaimanapun, sebagaimana sunnatullah pada penciptaan manusia yang mempunyai keupayaan yang berbeza-beza, terdapat sebilangan sahabat yang tidak sedikit juga bilangannya, yang terkemuka seperti Saidina Abu Bakr, Umar, Uthman, Ali, Muaz, Abu Ubaidah, Abdur Rahman, Saad, Zaid, Ibnu Mas’ud dan seumpama mereka, yang dikurniakan Allah Taala bukan sahaja peluang mendampingi Rasulullah S.A.W., bahkan kefahaman yang tajam dan mendalam tentang kehendak Syarak melalui al-Quran dan Sunnah yang mereka tahu secara kolektif. Sebarang perbezaan diselesaikan dengan merujuk kepada para sahabat yang ulung ini.

10. Lagikan Rasulullah S.A.W. pun wafat, inikan pula para sahabat. Kefahaman menyeluruh dan terperinci ini perlu diwariskan kepada generasi selanjutnya. Justeru ijtihad Saidina Umar, yang akhirnya dipersetujui oleh Saidina Abu Bakr, untuk mengumpulkan al-Quran, merupakan langkah amat bijak. Pengumpulan adalah langkah pertama dalam usaha memahami perincian dan keseluruhan al-Quran dan Sunnah.

11. Proses pengumpulan al-Quran diikuti pula dengan penulisan, serta pengumpulan Sunnah. Sebagaimana panjang perbahasan mengenai Sunnah, begitulah panjangnya tempoh masa yang berlalu dalam usaha penulisan, pengumpulan dan pengkategoriannya.

12. Seiring dengan perkembangan penulisan, pengumpulan dan pengkategorian ini, berlaku jugalah usaha untuk memahami perincian dan keseluruhan al-Quran dan Sunnah, lebih-lebih lagi berdepan dengan perkembangan kehidupan manusia yang banyak berubah.

13. Di sepanjang usaha memahami perincian dan keseluruhan al-Quran dan Sunnah itu, terbitlah puluhan usul, yang menerbitkan ratusan hukum, yang kemudiannya dirumuskan dalam puluhan qawaid, yang seterusnya menjadi panduan kepada ratus ribuan hukum lagi, melalui pelbagai madrasah dan mazhab, yang dipelopori oleh mujtahidin terbilang. Inilah kekayaan ilmu Islam, belum lagi dikira ilmu tentang alam semesta yang diterokai oleh generasi terkemudian daripada para mujtahid ilmu Syarak itu.

14. Segala usul dan qawaid yang lahir daripada analisis secara deduktif dan induktif, yang disambung pengkajiannya dari satu generasi ke satu generasi, yang memakan masa ratusan tahun ini, menjadi rujukan yang menyatukan kesemua mazhab dan madrasah.

15. Oleh sebab itu, generasi mujtahid ini menunjukkan sikap terbuka dalam menerima perbezaan pendapat dalam perkara cabang. Sila rujuk sikap Imam Syafie, Imam Malik dan sebagainya, ramai lagi. Tiada sikap memperlekehkan mana-mana tokoh yang tidak sependapat. Sesuatu yang amat perlu dipelajari oleh asatizah yang terlalu lantang dalam perkara cabang di zaman sekarang.

16. Oleh sebab itu juga, di sepanjang sejarah usaha memahami perincian dan keseluruhan al-Quran dan Sunnah ini, yang memakan tempoh ratusan tahun, sebarang perbezaan pendapat sama ada melalui mazhab-mazhab utama mahupun pendapat-pendapat terpencil, tidak pernah sama sekali mencetuskan huru hara dan kacau bilau. Bahkan umat Islam hidup aman damai dalam kekayaan ilmu pengetahuan.

17. Menerima sebahagian al-Quran atau sebahagian Sunnah, dan meninggalkan sebahagian yang lain, merupakan punca terselewengnya kefahaman daripada ajaran Islam yang sebenar. Ia adalah satu perlanggaran prinsip ajaran Islam, yang mewajibkan Islam diambil secara terperinci dan menyeluruh.

18. Kini, fenomena ambil sebahagian dan tinggal sebahagian berleluasa di kalangan parti-parti politik yang menjadikan undi dan kemenangan pilihanraya sebagai matlamat utama, sehingga tidak mempedulikan prinsip. Mereka ambil apa-apa yang menguntungkan peti undi mereka dan meninggalkan apa-apa yang merugikannya. Kemudian mereka tuduh orang yang menyampaikan pandangan dan hukum agama sebagai pemecah belah masyarakat, memundurkan, menimbulkan kebencian sesama rakyat, menyekat kebebasan bersuara dan sebagainya. Sebenarnya tuduhan itu ditujukan kepada agama itu sendiri, tetapi mereka lapik dengan serangan kepada manusia, agar mereka tidak dipandang pelik oleh masyarakat.

19. Termasuk kategori meninggalkan sebahagian (melanggar) prinsip ajaran Islam ialah berjanji setia bekerjasama dengan musuh Islam, yang telah jelas kata-kata permusuhannya serta perlembagaan pertubuhannya, dengan meletakkan kedaulatan kuasa orang-orang Islam dalam keadaan yang amat berisiko untuk hilang. Itulah kebinasaan akibat melanggar sesuatu yang jelas sifatnya sebagai prinsip.

20. Ingatlah, apabila kita diseru agar kembali kepada al-Quran dan Sunnah, sebenarnya kita diseru agar kembali kepada usul dan qawaid yang disusun oleh para ulama mujtahidin, hasil usaha mereka dalam memahami perincian dan keseluruhan al-Quran dan Sunnah. Kajian belasan tahun untuk mendapatkan pengiktirafan tertinggi universiti sungguh-sungguh tidak memberikan kita lesen untuk mengetepikan usul dan qawaid yang tersusun hasil pengkajian selama beberapa kurun. Tetapi akhir-akhir ini, papan kekunci dan pembesar suara menyebabkan ramai yang berasa diri lebih hebat daripada mujtahidin.

Ustaz Hazizi Abd Rahman
Ketua Penerangan Isma

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana.

The post Kenapa umat Islam berpecah? appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?