Kerajaan Selangor tak halang penganjuran konsert Selena Gomez
SHAH ALAM, Selasa – Meskipun mendapat bantahan, kerajaan Selangor hari ini mengambil pendirian untuk tidak menghalang penganjuran konsert ‘Selena Gomez The Revival Tour’ di Stadium Melawati pada 25 Julai ini.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tiada sebab untuk kerajaan negeri menghalang penganjuran konsert itu, jika pihak penganjur menepati semua syarat yang ditetapkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Sebenarnya, tiada isu bahawa konsert bakal berlangsung ini boleh mencemarkan kemuliaan Syawal yang sedang diraikan umat Islam seperti dikatakan pihak tertentu. Ini kerana, semua bulan perlu dihormati.
“Namun, setakat ini MBSA masih belum menerima sebarang permohonan untuk mendapatkan permit bagi penganjuran konsert ini, tetapi MBSA akan teliti permohonan (jika ada) dan jika semua syarat dipenuhi, kita tiada masalah,” katanya lapor Berita Harian.
Selain itu, mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Pemuda PAS, Hafez Sabri, bahawa kehadiran artis kelahiran Amerika Syarikat itu adalah sinonim dengan penampilan seksi, Azmin berkata itu semua tidak penting.
“Penampilan seksi artis itu bukan perkara penting dan tidak sepatutnya dijadikan isu.
“Seksi itu ciptaan tuhan dan subjektif, jangan terlalu teruja mengenainya, kebanyakan peminat lebih tertarik dengan lirik lagu yang disampaikan oleh penyanyi berkenaan,” kata Azmin.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad hari ini turut membantah penganjuran konsert Selena Gomez ini.
Lukman berkata, hakikatnya tidak ada siapa pun pernah menghalang hak bukan Islam untuk mendengar konsert di negara ini.
Namun katanya, apa yang dipersoalkan ialah bagaimana konsert berskala besar seperti ini boleh diluluskan oleh kerajaan yang dikuasai oleh majoriti pemimpin Islam.
“Apatah lagi, sebaran umum juga dibuat secara meluas dan sudah pastilah majoriti yang akan datang ialah anak muda Melayu Islam. Itu yang membimbangkan,” katanya.
The post Kerajaan Selangor tak halang penganjuran konsert Selena Gomez appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan