Kerajaan tidak bercadang lanjut usia persaraan
KUALA LUMPUR, Sabtu – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan usia persaraan penjawat awam kepada 62 tahun dari 60 tahun masa ini.
Baru-baru ini, Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda telah membuat cadangan itu kerana berpandangan ia satu kesesuaian seiring dengan wawasan negara menuju ke arah status negara maju.
Bagaimanapun, Ali Hamsa menyifatkan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhubung perkara itu sebagai masih pramatang.
“Kita mengambil maklum cadangan Cuepacs tapi mungkin masih pramatang lagi nak bercakap tentang penambahan umur persaraan.
“Jadi kita biarkan dulu (umur persaraan) 60 tahun dilaksanakan untuk beberapa tahun lagi,” katanya pada satu sesi temubual bersama Bernama dan RTM di Angkasapuri di sini, hari ini.
Katanya, langkah itu juga mampu mengurangkan perbelanjaan bayaran pencen kepada pesara.
Sebelum ini, umur persaraan wajib telah dinaikkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun pada tahun 2012.
Malaysia kini mempunyai 1.6 juta penjawat awam, termasuk kumpulan keselamatan dan perkhidmatan kritikal.
The post Kerajaan tidak bercadang lanjut usia persaraan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan