KKMM tubuh jawatankuasa tangani ekstremis, kekang Daesh
HULU TERENGGANU, Khamis – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menubuhkan Jawatankuasa Komunikasi Menangani Ekstremis dalam usaha menangani dan menyekat penyebaran ancaman militan Daesh.
Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam membentuk jawatankuasa tersebut.
“Kerjasama bersama KDN, Jakim dan semua agensi di bawah KKMM ini sangat penting bagi menerangkan secara terperinci mengenai ancaman Daesh kepada masyarakat kerana masyarakat sememangnya mudah terpedaya dengan apa sahaja maklumat yang diviralkan melalui media sosial terutamanya remaja.
“Melalui kerjasama ini, KKMM menjadi platform untuk penyebaran maklumat dalam bentuk penyiaran dan pengeluaran sebarang artikel atau kapsul yang dapat menerangkan hal sebenar mengenai Daesh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Seminar ‘Move The Heart’ empower ECER Hulu Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Terengganu Ahmad Fuad Sulaiman dan Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dr Mohd Adzim Khalili Rohin.
Jailani berkata semalam pihaknya mengadakan mesyuarat khas penubuhan jawatankuasa berkenaan bagi membincangkan secara terperinci mengenai isu tersebut dan perancangan untuk terus memastikan militan Daesh dapat dikekang juga turut dibincangkan.
“Setakat ini kami dah dapat kenal pasti cara penyebaran dan pendekatan yang dilakukan oleh pihak militan Daesh ini untuk menarik orang ramai termasuk menggunakan media sosial dan mencipta lagu ‘semangat’…tetapi kami dah dapat kesan dan sekat beberapa laman web berkaitan.
“Setakat hari ini belum ada penerangan terperinci tentang Daesh bagi memberi kefahaman kepada masyarakat bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan sebaran di internet…dengan adanya jawatankuasa baharu ini, kami akan pastikan penyebaran mengenai Daesh ini akan dapat dikekang,” katanya.- Bernama
The post KKMM tubuh jawatankuasa tangani ekstremis, kekang Daesh appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan