Larangan lawat ladang unta masih kekal: Jamil Khir
YAN, Ahad – Larangan melawat ladang unta sepanjang musim haji kali ini masih dikekalkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Katanya, peraturan yang dikuatkuasakan sejak tahun lalu berikutan serangan Virus Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MersCoV) masih diguna pakai sehingga pengumuman baharu dibuat kerajaan Arab Saudi.
“Saya ingin berpesan juga kepada bakal jemaah haji negara ini, jangan ada yang senyap-senyap cuba membuat lawatan…kalau dibenarkan pihak berkuasa Arab Saudi, itu cerita lain.
“Nasihat saya jangan membuat lawatan kerana kesannya bukan seorang, sebaliknya boleh mengakibatkan ramai jemaah lain turut dijangkiti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Konvoi Skuad Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BriSK), di Masjid Jamek Badlishah, Pekan Yan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi BriSK Wilayah Utara merangkap Pengarah Kolej Komuniti Bayan Baru, Pulau Pinang, Sharihan Shahidan dan Pengarah Kolej Komuniti Jerai, Khairul Anuar Aziz.
Dalam perkembangan berkaitan, Jamil Khir berkata, Tabung Haji sudah melakukan persediaan rapi termasuk menyediakan pasukan perubatan bagi memberikan perkhidmatan kepada seramai 22,320 jemaah Malaysia sepanjang musim haji tahun ini.
“Penerbangan pertama dijadualkan pada 4 Ogos ini, dan sama seperti tahun sebelum ini Tabung Haji akan membawa pasukan perubatan sendiri. Kerajaan Arab Saudi juga turut memperkemaskan lagi pasukan perubatan mereka di sana,” katanya. – Bernama
The post Larangan lawat ladang unta masih kekal: Jamil Khir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan