Malaysia destinasi terbaik pelancongan Islam di dunia
MASJID TANAH, Rabu – Kajian sebuah portal pelancongan Islam, CrescentRating menunjukkan Malaysia menduduki tempat pertama destinasi terbaik sebagai tempat pelancongan Islam paling popular di dunia.
Pilihan itu adalah berdasarkan kesesuaian destinasi dan keperluan percutian keluarga, kemudahan dan perkhidmatan untuk pelancong Islam, selain inisiatif pemasaran dan promosi untuk destinasi percutian keluarga.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, banyak faktor menyebabkan Malaysia dikenali dan gemar dikunjungi pelancong pelbagai negara termasuk negara bukan Islam.
“Antaranya perkhidmatan mesra muslim seperti surau, sejadah dan tanda arah kiblat di hotel serta tempat awam.
“Mereka juga mudah mendapatkan makanan halal yang diberi sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan polisi visa yang dilaksanakan kerajaan kita lebih mesra terutama untuk pelancong dari negara Islam.
“Selain itu, faktor hubungan pesawat dari negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mempunyai penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga merupakan faktor Malaysia gemar dikunjungi,” katanya kepada pemberita, semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan rekod, pelancong dari Arab Saudi merupakan pelancong yang berbelanja tinggi di negara ini dengan perbelanjaan RM9,459 perkapita diikuti Kuwait (RM8,490), Oman (RM7,900), Emiriyah Arab Bersatu (RM7,390) dan Iran (RM5,880).
The post Malaysia destinasi terbaik pelancongan Islam di dunia appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan