Malaysia Memerlukan At-Tawafuk Am (Permuafakatan Nasional)
Alhamdulillah, sehingga hari ini kita masih boleh bertahan. Malaysia belum lagi menjadi seperti negara–negara Islam lain terutamanya seperti di Timur Tengah.
Rakyat Malaysia berjaya menghalang huru-hara, mengekalkan kestabilan, pembangunan dan kemerdekaan dalam membuat dasar, daripada diporak-perandakan oleh tangan-tangan jahat yang berkomplot dari dalam dan luar negara.
Sewaktu saya menulis ucapan ini, politik Malaysia dalam proses pembentukan baharu. Saya berharap akan berlaku perubahan dalam peta politik Malaysia terutama dalam politik orang Melayu.
Saya berharap rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam mengambil kesempatan ini untuk membuat pembetulan dan penambahbaikan. Sekurang-kurangnya akan wujud laluan ke arah suasana Tawafuk umum antara pihak-pihak yang berpengaruh dalam politik Malaysia, merawat kerekahan yang berlaku di dalam keragaman yang kronik.
Bertindak atas kepentingan umat bukan mengikut telunjuk pihak asing. Tawafuk antara kumpulan-kumpulan Islam, Tawafuk antara kumpulan Melayu Islam dengan pemerintah dan Tawafuk antara rakyat secara keseluruhannya.
Negara sangat terdedah kepada suasana huru-hara dan ketidakstabilan. Pemimpin dan pemerintah yang lemah tidak akan dapat menegakkan undang-undang sebagaimana yang sepatutnya, tidak mampu memberikan hak kepada yang berhak dan gagal menegakkan keadilan secara saksama.
Saya percaya bahawa Barat dan proksi mereka, golongan cauvinis dan Evangelis tidak akan sekali-kali mengendurkan tuntutan ekstrem dan melampau mereka.
Sekarang waktu yang sangat kritikal bagi rakyat Malaysia keseluruhannya untuk memastikan negara dipandu oleh dasar yang betul tanpa tughyan iaitu dominasi melampau oleh tuntutan minoriti yang diragui ke atas kehendak majoriti.
Segala usaha dan tumpuan harus menjurus ke arah mengukuhkan tonggak kenegaraan agar kekal stabil, diiringi dengan muafakat antara rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa, suasana harmoni dan saling menghormati.
Saya menyeru rakyat Malaysia seluruhnya supaya;
1. Mempertahankan identiti dan jati diri negara Malaysia.
2. Menolak segala pengaruh hegemoni asing yang akan menjejaskan kedaulatan dan kemerdekaan dasar-dasar negara.
3. Menolak segala usaha mengimport fahaman, pengalaman dan budaya asing yang bercanggah dengan budaya tempatan sehingga mengakibatkan pertembungan budaya yang kronik.
4. Menolak fahaman ekstrem Dominionisme (Cita-cita negara Kristian Evangelis) dan “Zionis Kristian” yang telah meresap masuk dan merosakkan pemikiran sebahagian anggota masyarakat.
5. Menolak agenda yang cuba memecahkan kesatuan negara Malaysia.
Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden ISMA
Ulasan
Catat Ulasan