Mat Said tolak pelantikan jawatan Timbalan EXCO
KUALA TERENGGANU, Khamis – Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menolak pelantikan sebagai Timbalan EXCO yang diumumkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, semalam.
Katanya, meskipun beliau belum menerima surat pelantikan secara rasmi dan hanya mengetahui namanya tersenarai sebagai timbalan EXCO, beliau tidak bersetuju dengan pelantikan itu.
“Antara punca menyebabkan saya menolak tawaran ini kerana Ahmad (Razif) tidak mengiktiraf saya sebagai wakil rakyat apabila bertindak memotong peruntukan pembangunan di DUN Kijal, selain melantik orang lain sebagai Pengerusi Pembangunan DUN.
“Sebagai seorang bekas menteri besar, saya anggap Ahmad (Razif) mempersendakan saya apabila melantik sebagai timbalan EXCO,” katanya ketika mengadakan sidang media pada mesyuarat jawatankuasa PERKASA, di sini, sebentar tadi.
Dalam rombakan portfolio EXCO kerajaan negeri semalam, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir yang mengatakan Ahmad sebelum ini dilantik sebagai timbalan EXCO tetapi tidak didedahkan, Ahmad berkata, beliau tidak pernah dihubungi mengenai pelantikan itu.
“Ahmad Razif juga pernah mengumumkan melantik saya sebagai Pengerusi Pembangunan Tasik Kenyir, tetapi tiada surat pelantikan secara rasmi dihantar dan saya juga menolak pelantikan itu,” katanya.
The post Mat Said tolak pelantikan jawatan Timbalan EXCO appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan