Menjawab kekeliruan Wan Saiful Wan Jan isu khutbah Aidilfitri
Pada 17 Julai 2016, Wan Saiful Wan Jan, telah menulis satu artikel untuk menyatakan ketidakpuasan hatinya di dalam surat khabar The Star. Beliau menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan khutbah Hari Raya Aidilfitri yang telah disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Secara umumnya beliau tidak berpuas hati dengan dua perkara di dalam khutbah tersebut.
Yang pertama adalah berkenaan usul persendirian yang telah dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen. Usul ini adalah untuk menambahbaik hukuman yang boleh dikenakan oleh Makamah Syariah, selari dengan tuntutan perkembangan dan peralihan zaman. Menurut Wan Saiful Wan Jan, JAIS tidak sepatutnya bertindak menyokong usul tersebut kerana JAIS adalah badan kerajaan dan PAS adalah parti politk.
JAIS sebagai satu agensi yang menguatkuasakan Undang-undang Syariah di Selangor sudah tentu akan menyokong perkara yang berkenaan Islam, apatah lagi berkenaan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah syariah, semestinya mempunyai kepentingan dalam pindaan ini. Apabila pindaan tersebut membuka ruang autonomi yang lebih luas ke arah pelaksanaan Undang-undang Syariah secara lebih berkesan, dan JAIS memang perlu kepada perundangan sedemikian dalam melaksanakan tugas menjaga agama Islam di Selangor, maka JAIS seharusnya bukan sahaja bertindak menyokong, malah patut turut memberi motivasi kepada pihak lain untuk turut menyokong.
Apabila Wan Saiful Wan Jan tidak bersetuju JAIS membuat penjelasan dan menyokong pindaan Akta 355, beliau dilihat tidak faham kedudukan dan peranan JAIS, mungkin kerana terlalu menyanjung pemikiran liberalisme sebagaimana yang beliau sering pelopori.
Hujah yang kedua, sebagai orang Islam, kejayaan untuk memartabatkan perintah Allah dan Rasul-Nya adalah kejayaan sejagat bagi orang Islam. Hatta kalau undang-undang ini dimartabatkan di Nigeria sekalipun ianya sesuatu yang wajar dibanggakan oleh umat Islam seluruh dunia. Kita menjunjung perintah Allah dan Rasul-Nya mengatasi segala yang lain kerana perintah Tuhan sekalian alam,
“Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” Al-Qur’an Surah Ahzab:33
Maka ayat ini mengajak kita sebagai orang Islam wajar berjuang malah berlumba-lumba untuk mendapat kejayaan yang besar ini. Tidak mungkin, melalui gerakan liberalisme itu boleh mendekatkan diri kepada Allah. Malah jika benar liberalisme itu sesuatu yang Islamik sudah tentu Allah dan Rasul-Nya akan menyuruh kita menegakkan liberalisme dan bukan Islam. Kita tidak ingin menyentuh dengan lanjut aspek liberalisme dalam artikel ini. Liberalisme hanya disebut untuk memberi ruangan kepada Wan Saiful untuk membalas artikel ini.
Selain daripada itu, setiap yang mukmin itu adalah bersaudara, seperti firman Allah SWT dalam Al-Quran:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. Surah Hujurat ayat 10.
Berdasarkan ayat di atas, kita sebagai umat Islam sepatutnya bersatu dan bukan mengamalkan budaya “aku-aku, engkau-engkau”. Kejayaan PAS untuk memulakan proses menaik taraf hukuman perundangan syariah di negara ini adalah satu kejayaan buat umat Islam yang sentiasa ingin mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.
Menggerakkan ajaran liberalisme adalah tidak selari dengan ajaran Islam, tidak pernah selari dan buat selamanya tidak akan selari. Setiap ideologi selain Islam mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, akan tetapi Islam tanpa apa-apa kekurangan kerana Islam itu adalah daripada Allah, Tuhan sekalian alam.
Saudara Wan Saiful juga tidak berpuas hati apabila khutbah menyokong tindakan mahkamah ke atas Sisters In Islam (SIS) kerana mendukung ajaran liberalisme. Sudah tentu saudara Wan Saiful tidak akan berpuas hati kerana beliau juga penyokong kuat liberalisme di Malaysia. Perkara ini tidak perlu diulas lanjut kerana sangat jelas.
Akhir kata, sebagai umat Islam berusahalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan Rasul-Nya, sesungguhnya pada hari akhirat nanti bukan wang ringgit yang menjadi ukuran akan tetapi amalan kita di dunia, jika buruk amalan kita maka buruklah balasannya, dan jika baik amalan kita syurga menanti. WAllahua’lam.
Rehan Ahmad Bin Jamaluddin Ahmad
President, Intellectual Wisdom Society
The post Menjawab kekeliruan Wan Saiful Wan Jan isu khutbah Aidilfitri appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan