Pancing ikan tapi dapat kepala babi: PPIM
Oleh Athirah Huda Zalhe
KUALA LUMPUR, Selasa – “Kami ada terima aduan daripada pemancing di kolam ikan air tawar, yang mereka dapat bukannya ikan sebaliknya tengkorak babi,” kata Pengarah Penyelidikan dan Latihan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Izham Nayan.
Beliau berkata, kebelakangan ini pihaknya menerima aduan berkenaan keraguan status halal terhadap penternakan ikan air tawar yang dibekalkan kepada pengguna.
“Kita bimbang kerana pemantauan terhadap penternak ikan sangat sukar berikutan kawalan ketat terhadap kolam mereka. Tambah pula, ikan-ikan ini setiap hari berada di pasaran dan memiliki ramai penggemarnya.
“Persoalannya, dia (penternak) bagi makan apa? Hasil pemantauan kita, tong biru yang dibawa dalam lori ada memiliki bahan yang haram dimakan seperti bangkai dan sebagainya.
“Namun, apa yang lebih membimbangkan jika ia ada bangkai khinzir,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Pelancaran Kempen Kesedaran Pemakanan Halal dan Selamat di sini, hari ini.
Justeru katanya, beliau menggesa supaya pengguna lebih aktif dalam memastikan sumber asal setiap barangan yang dibeli terutama ikan dan sayur.
“Pengguna perlu tanya dari mana hasil barang yang dibeli dan sumber makanan yang didapati.
“Manakala, peniaga juga perlu berperanan untuk tahu dari mana sumber pembekalnya juga,” katanya.
The post Pancing ikan tapi dapat kepala babi: PPIM appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan