PAS Pulau Pinang jangka kerajaan negeri bubar DUN
GEORGE TOWN, Rabu – Kerajaan negeri Pulau Pinang dijangka akan mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, meskipun pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu, tindakan kerajaan negeri yang mengadakan mesyuarat tergempar bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) di KOMTAR pagi ini membuktikan mereka serius dengan cadangan berkenaan.
“Sekiranya ia sahih, PAS mengutuk tindakan berkenaan kerana ia disifatkan sebagai cubaan untuk menarik perhatian rakyat daripada pertuduhan rasuah yang dihadapi Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
“Namun, kita percaya sekiranya pembubaran DUN ini dibuat ia hanya bertujuan untuk mendahului keputusan mahkamah dengan mengelirukan rakyat terhadap situasi berlaku,” katanya yang dipetik daripada BH, hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, walau apa juga keputusan kerajaan negeri, PAS bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng dijangka akan membuat pengumuman penting yang dipercayai ada kaitan dengan pembubaran DUN bagi membolehkan PRN dijalankan di negeri ini, dalam sidang media di KOMTAR jam 2.30 petang ini.
Difahamkan, Guan Eng ketika ini sedang mempengerusikan mesyuarat tergempar itu bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri dan ahli EXCO.
The post PAS Pulau Pinang jangka kerajaan negeri bubar DUN appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan