PAS tidak yakin pilihan raya negeri mengejut di Pulau Pinang: Mustafa
KEPALA BATAS, Isnin — PAS tidak yakin kerajaan DAP akan mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang, kata Pengarah Pilihan Raya parti itu, Datuk Mustafa Ali.
Beliau berkata, berdasarkan analisis dan maklumat, pilihan raya negeri (PRN) tidak mungkin berlaku kerana tiadanya kesepakatan dalam kalangan kepimpinan DAP dan Pakatan Harapan.
“Kepimpinan dalam Pakatan Harapan tidak bulat (sepakat) untuk adakan pilihan raya. Jadi, walaupun ada desas desus mengenai PRN, PAS tidak yakin ia akan diadakan.
“Lagi pun, cadangan untuk mengadakan pilihan raya negeri dibuat selepas kes (dakwaan salah laku rasuah Ketua Menteri) Lim Guan Eng,” katanya pada sidang berita di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pulau Pinang di Pongsu Seribu di sini, semalam.
Namun, katanya, PAS bersedia menghadapi pilihan raya itu sekiranya Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dibubarkan.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz yang menghadiri sidang berita berkenaan, berkata DAP mahu mengadakan PRN itu demi kepentingan parti itu dan bukannya rakyat.
“Tetapi, jika benar PRN diadakan dalam masa terdekat, jentera Pemuda sentiasa bersedia menghadapinya,” katanya.
Semalam, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP dilaporkan berkata parti itu masih menunggu persetujuan Parti Keadilan Rakyat dan Parti Amanah Negara sebelum mengadakan pilihan raya mengejut di negeri ini. — Bernama
The post PAS tidak yakin pilihan raya negeri mengejut di Pulau Pinang: Mustafa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan