Peguam Negara perlu letak jawatan jika gagal dedah siapa ‘Malaysian Official 1’
PUTRAJAYA, Rabu – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletakkan jawatan sekiranya gagal mendedahkan nama ‘Malaysian Official 1’ yang disebut oleh Jabatan Kehakiman(DoJ) Amerika Syarikat (AS).
Mahfuz meminta Apandi menghubungi DoJ dan mendedahkan kepada rakyat Malaysia siapakah ‘Malaysian Official 1’ yang dinamakan dalam saman itu.
Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil selepas saman sivil dikemukakan DoJ bagi merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB yang diseleweng, Mahfuz berkata, peguam negara secara terhormat perlu berundur.
“Saya tengok peguam negara yang ada sekarang bukan lagi menjadi seorang peguam untuk negara tetapi peguam untuk melindungi perdana menteri dan penjenayah yang disebut dalam saman sivil DOJ,” katanya ketika menyerahkan ‘Memorandum Rakyat’ kepada peguam negara bersama Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan bekas pemimpin UMNO, Datuk Khairuddin Abu Hassan di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, hari ini.
Sementara itu, Shamsul pula menggesa Apandi melihat semula keputusan beliau membersihkan nama Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung kes 1MDB.
Shamsul juga meminta supaya pendakwaan dibuat terhadap semua individu yang dinamakan oleh DoJ.
“Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 (Akta 621) boleh diguna pakai kerana ia mempunyai peruntukan untuk bantuan bersama dalam perkara jenayah antara Malaysia dan negara lain seperti AS bagi mengumpul bukti serta memulakan pendakwaan di negara ini.
“(Selain itu) bekerjasama dengan semua jentera yang berkaitan seperti Kementerian Luar dan DOJ untuk membawa pulang dan memulangkan semula wang yang dicuri kepada rakyat Malaysia,” katanya.
The post Peguam Negara perlu letak jawatan jika gagal dedah siapa ‘Malaysian Official 1’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan