Peguam Negara tak patut pegang dua jawatan, kata Ketua Hakim Negara
KUALA LUMPUR, Ahad – Peguam Negara tidak sepatutnya memegang jawatan Ketua Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) bagi memastikan badan kehakiman itu dapat dilihat sebagai sebuah badan yang benar-benar bebas.
Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, berkata konflik kepentingan akan berlaku jika Peguam Negara juga mengetuai suruhanjaya itu yang mana selain beliau adalah ahli eksekutif, pegawai kehakiman juga berada di bawah badan kehakiman.
Menurut sistem demokrasi di negara ini, ketiga-tiga cabang kerajaan iaitu perundangan, eksekutif dan kehakiman mesti kekal bebas antara satu sama lain.
“Jika AG terus menerajui kedua-dua perkhidmatan, saya bimbang ia akan mewujudkan persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kehakiman Tahun 2016 di sini, semalam.
Tun Arifin berkata, pihaknya telah menyerahkan kertas kerja berhubung pengasingan kuasa pentadbir hakim mahkamah rendah seluruh negara kepada SPKP.
Keputusannya bakal diketahui pada hujung tahun ini.
Mengulas perkara itu The Star melaporkan, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan menerima cadangan itu dan masih mengkajinya dari sudut Perlembagaan dan perspektif bersejarah.
“Kami akan memberikan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara dan berbincang tentang perkara ini dalam mesyuarat SPKP seterusnya sebelum akhir tahun ini,” katanya.
Pada masa sekarang, Peguam Negara adalah ketua perkhidmatan kepada semua hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret seluruh negara.
“Mengikut Pekeliling 6/2010, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah melantik AG sebagai ketua perkhidmatan dan saya tidak tahu apa sebabnya.
“Ini bermakna, pegawai kehakiman dan perundangan diletak di bawah AG, jadi nampak konflik kepentingan sebab (bidang kuasa) AG adalah pendakwaan, macam mana boleh jadi ketua kehakiman,” katanya.
The post Peguam Negara tak patut pegang dua jawatan, kata Ketua Hakim Negara appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan