Pelajar Malaysia cedera dalam rempuhan maut di Perancis
BANGI, Sabtu – Seorang pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Teknologi dan Rekabentuk Singapura (SUTD) di Nice, Perancis selama tiga minggu, adalah antara yang cedera dalam tragedi rempuhan trak di bandar itu, kelmarin.
Esmond Chuah, 22, adalah antara 12 pelajar universiti berkenaan yang mengikuti program musim panas di Nice, dan berada di tempat kejadian ketika sambutan Hari Bastille.
Pelajar terbabit dimasukkan ke sebuah hospital selepas cedera di badan akibat rempuhan trak berkenaan yang mengorbankan 84 orang, termasuk 10 kanak-kanak, manakala 202 lagi cedera.
The Star Online melaporkan, Esmond telah menghubungi keluarganya di Malaysia jam 5 petang semalam, dengan meminjam telefon seorang jururawat hospital berkenaan.
Bapanya, Chuah Tze Leng berkata, segala kebimbangan terhadap anaknya hilang selepas berhubung.
“Esmond telah memberitahu isteri saya bahawa dia ‘okay’. Dia boleh menggerakkan kakinya, namun bahagian belakangnya retak.
“Kami sangat risau. Namun sekarang sudah lega sedikit dan kami bersedia untuk melawatnya di Nice,” katanya yang bekerja sebagai pengurus di sebuah bank di Pulau Pinang.
Sebelum ini, Kementerian Luar berkata, tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam insiden berkenaan, tetapi Kedutaan Malaysia di Paris sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti sama ada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam insiden itu.
The post Pelajar Malaysia cedera dalam rempuhan maut di Perancis appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan