Pemuda Isma gesa halang kemasukan aplikasi Pokemon Go
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Rabu – Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad menggesa supaya aplikasi permainan yang semakin popular, Pokemon Go dihalang daripada memasuki Malaysia.
Beliau yang tidak bersetuju aplikasi itu berada di Malaysia berkata, selain mengancam keselamatan individu dan mendedahkan negara kepada bahaya perisikan kuasa luar, ia juga mengundang banyak impak negatif kepada golongan muda.
“Permainan Pokemon Go dan yang seumpama dengannya sangat jelas membuang masa anak muda, melalaikan mereka daripada tanggungjawab sebenar, mematikan kemahiran bersosial dan juga mengundang ketagihan.
“Tidak mustahil, pengenalan permainan ini hanyalah mukadimah kepada versi-versi masa depan yang lebih canggih, lebih berbahaya dan mampu membentuk generasi yang hidup dalam alam khayalan,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Malah katanya, sebarang aplikasi video permainan yang berunsur sama dengan Pokemon Go juga perlu dikawal dengan ketat sekiranya tidak diharamkan.
“Cukup lah dengan kebejatan akhlak dan masalah sosial kronik yang melanda generasi muda negara. Kita tidak perlukan ‘senjata’ tambahan untuk menghancurkan masa depan belia yang merupakan bakal pemimpin negara yang kita sama-sama cintai,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, Malaysia tidak akan menyekat atau menghalang aplikasi permainan mudah alih secara percuma itu untuk dilancarkan di negara ini.
Bagaimanapun, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa supaya Pokemon Go diharamkan segera selepas mengikuti pandangan pro dan kontra diberikan oleh pelbagai pihak tertentu mengenai permainan digital ituut.
Malah, laporan Pakar Kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim sebelum ini juga mendakwa, permainan Pokemon Go menggalakkan judi dan mengancam keselamatan awam berikutan kes pertaruhan wang pemain kanak-kanak berlaku di Jepun dan Amerika Syarikat.
Pokemon Go adalah satu permainan gajet yang menjadi viral kerana tampil dengan ciri gabungan alam fantasi dan sistem navigasi GPS.
Ia membolehkan pemain memburu haiwan digital menerusi teknologi ini yang mengesan lokasi dan waktu pemain.
The post Pemuda Isma gesa halang kemasukan aplikasi Pokemon Go appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan