Perancis lanjut darurat tiga bulan
NICE , Sabtu – Perancis mengisytiharkan kerajaannya melanjutkan tempoh darurat selama tiga bulan lagi susulan serangan trak di Nice semalam.
Presiden Perancis, Francois Hollande berkata, langkah-langkah keselamatan akan ditambah dan tempoh darurat yang dijadual berakhir hujung bulan ini, akan dilanjutkan selama tiga bulan.
Sebelum ini darurat telah dilaksanakan sejak serangan militan November lalu di Paris, dan dijangka ditarik balik pada 26 Julai.
Dalam insiden terbaharu itu, sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh apabila sebuah trak besar merempuh orang ramai ketika sambutan Hari Bastille di Nice, selatan Perancis.
Pemandu trak tersebut menembak ke arah orang ramai sebelum memandu sejauh 2 kilometer di sepanjang Boulevard des Anglais, jalan utama di Nice dan merempuh orang ramai yang sedang menonton pertunjukan bunga api.
Dilaporkan sepuluh kanak-kanak dan remaja antara mangsa yang maut. Pendakwa raya anti-keganasan, Francois Molins, berkata kepada media, selain 86 yang maut, 202 lain turut cedera dalam serangan malam itu. -Agensi
The post Perancis lanjut darurat tiga bulan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan