Pindaan RUU hasrat umat Islam seluruh Malaysia: Abdul Hadi
KUALA LUMPUR, Isnin – Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 dikehendaki oleh umat Islam di seluruh Malaysia, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Umat Islam mempunyai hak untuk menggesa undang-undang Syariah. Orang bukan Islam ada hak untuk mengamalkan agama mereka, dan umat Islam mempunyai hak untuk agama mereka,” katanya selepas menghadiri majlis Hari Raya NGO Islam, malam Ahad.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa meskipun Islam adalah agama rasmi bagi Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah yang mempunyai status yang rendah tidak mencerminkan perkara ini.
“Kita perlu menaik taraf status Mahkamah Syariah dalam Perlembagaan Malaysia yang ditinggalkan oleh British; di mana ia meletakkan Mahkamah Syariah di peringkat yang lebih rendah berbanding Mahkamah Majistret.
“Perkara ini sendiri bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan,” kata Abdul Hadi.
Katanya lagi, PAS sudah bersedia untuk membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian mengenai hudud apabila persidangan Dewan Rakyat disambung semula.
“Kita telah bersedia untuk membahaskannya sejak tahun 1957. Kita sudah sedia membahaskan Rang Undang-undang itu,” katanya.
The post Pindaan RUU hasrat umat Islam seluruh Malaysia: Abdul Hadi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan