Polis akan panggil Namewee untuk siasatan
GEORGE TOWN, Jumaat – Polis Pulau Pinang akan memanggil penyanyi rap kontroversi Wee Meng Chee atau Namewee, 33, untuk memberi kenyataan berhubung rakaman video terbarunya yang didakwa menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghaffar Rajab berkata, satu laporan telah dibuat oleh Pengerusi Masjid Terapung, Tanjung Bungah, semalam berikutan rakaman itu dibuat di dalam masjid berkenaan.
“Kita akan panggil Namewee untuk tampil memberikan keterangan mengenai rakaman videonya yang dikatakan menghina agama sehingga menaikkan kemarahan masyarakat.
“Tiga lagi rakannya yang terbabit melakukan rakaman juga akan dipanggil bagi memberi keterangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, petang tadi.
Klip muzik video empat minit yang diarah dan dihasilkan dengan penampilan khas pemuzik Taiwan yang dikenali sebagai Nine-One-One itu dimulai dengan laungan azan, koir gereja, pukulan gong meditasi Buddha dan loceng kuil Hindu.
Dalam muzik video itu juga, Namewee dilihat menyanyi dan menari di beberapa rumah ibadah sekitar negeri ini, termasuk didakwa masuk ke ruang solat masjid.
Sehubungan itu, Abdul Ghaffar berkata, siasatan kes berkenaan dilakukan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membencana dan mencemarkan tempat sembahyang orang awam.
The post Polis akan panggil Namewee untuk siasatan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan