Polis nafi dakwaan keganasan kaum bakal berlaku 16 September
BANGI, Rabu – Polis menafikan khabar angin yang mendakwa keganasan kaum bakal berlaku pada 16 September ini sebagaimana yang tersebar di media sosial, baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata mesej berbaur hasutan itu menggesa orang bukan Melayu supaya berhati-hati dengan keganasan terhadap mereka ketika perarakan 16 September.
Ketua Komunikasi Korporat Urus Setia Ketua Polis Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datin Asmawati Ahmad berkata mesej itu juga mendakwa keganasan kaum dirancang sedemikian bagi membolehkan perisytiharan darurat demi memenuhi agenda politik.
Beliau berkata, mesej itu turut menggesa kaum Cina dan India berada di rumah pada 16 September dan menyimpan bekalan makanan serta keperluan lain di waktu kecemasan ketika berlakunya keganasan kaum.
Katanya, mesej itu adalah dakwaan tidak berasas, dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menggugat keharmonian kaum serta ketenteraman awam.
“Penyebaran maklumat tidak berasas dan tidak sahih seperti itu boleh membawa kepada rasa tidak percaya, perpecahan dan ketidakharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi pihak berkuasa yang berkaitan apabila mereka meragui mesej yang diedarkan,” katanya.
The post Polis nafi dakwaan keganasan kaum bakal berlaku 16 September appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan