Portfolio EXCO Terengganu dirombak mulai 1 Ogos
KUALA TERENGGANU, Rabu – Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini mengumumkan penstrukturan semula portfolio EXCO yang melibatkan beberapa pertambahan dan pertukaran tugas.
Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan memberitahu penstrukturan berkenaan akan berkuat kuasa 1 Ogos dan ia tidak melibatkan perubahan dari segi jumlah keanggotaan EXCO.
Menerusi penstrukturan itu, tiga EXCO kekal dengan portfolio masing-masing, manakala tujuh yang lain termasuk Ahmad Razif mempunyai pertambahan dan pertukaran tugas.
Tiga Exco yang kekal dengan dengan portfolio masing-masing ialah Datuk Tengku Putera Tengku Awang, (Exco Perindustrian dan Perdagangan Negeri), Datuk Rozi Mamat (EXCO Belia dan Sukan dan Sumber Manusia Negeri) dan Rosli Othman (EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri).
Ahmad Razif selain memegang portfolio Menteri Besar, turut memegang portfolio Perancang, Kewangan dan Pelaburan, Tanah, Petroleum, Sumber Asli, Pelancongan dan Kebudayaan.
Portfolio Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang dipegang beliau sebelum ini kini disandang Datuk Mohd Jidin Shafee, yang sebelum ini memegang portfolio Pelancongan dan Kebudayaan.
Portfolio Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan kini dipegang Nawi Mohamad yang bertukar portfolio dengan Roslee Daud.
Roslee Daud kini menyandang portfolio Kesihatan, Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang sebelum ini dipegang Datuk Muhammad Pehimi Yusof, yang kini memegang portfolio Pertanian, dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Portfolio Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan kini dipegang A Latiff Awang, yang bertukar portfolio dengan Ghazali Taib yang kini memegang portfolio Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas. – Bernama
The post Portfolio EXCO Terengganu dirombak mulai 1 Ogos appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan