Rujuk ibu bapa terlebih dahulu sebelum ambil tindakan displin: Kamalanathan
ALOR SETAR, Jumaat — Para pendidik perlu merujuk ibu bapa dan penjaga terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajar bermasalah, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.
Beliau berkata, pihaknya telah banyak kali menyatakan bahawa seorang guru yang baik perlu mempunyai gaya mengawal emosi yang baik dan bukannya bertindak melulu.
“Walau apa pun keadaan kalau ada masalah dengan pelajar yang kita pilih rujukan pertama ialah ibu bapa. Kalau tidak ini bermakna pendidik telah gagal dan saya kecewa serta sedih perkara ini berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah dan Penerangan Dasar-Dasar Utama Kementerian Pendidikan di sini hari ini, bagi mengulas isu tiga pelajar tahfiz dipukul hingga cedera di sebuah madrasah di Sungai Petani baru-baru ini.
Gambar pelajar tahfiz dengan kesan rotan di badan dan kepala menjadi viral di laman sosial apabila dikatakan dipukul seperti penjenayah.
Jelasnya, walaupun madrasah terbabit itu bukan di bawah seliaan kementeriannya, perkara itu tidak harus berlaku kerana secara dasarnya seorang pendidik perlu menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajarannya kepada pelajar.
Bagaimanapun Kamalanathan berkata, di pihak kementerian sendiri guru-guru diawasi dan dipantau ketat oleh kementerian, dan 99 peratus katanya guru tidak akan mencederakan pelajar dibawah seliaan masing-masing.
“Kementerian Pendidikan merupakan satu kementerian yang mana kita akan lakukan siasatan walau ada surat layang dan semua maklumat dimasukkan dalam peti cadangan sekolah akan kita siasat.
Disiplin anak-anak berbeza dari mencederakan anak, disiplin anak kita perlu manakala mencederakakan anak tidak boleh,” katanya.
Progam hari ini merupakan anjuran Unit Komunikasi Korporat kementerian bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri, yang merupakan program kedua selepas di Miri, Sarawak pada April lepas.
Bertemakan ‘Meneraju Perubahan’, ia bertujuan memberikan penerangan dan penjelasan mengenai perkhidmatan dan peluang yang terdapat dalam sistem pendidikan negara ini. —Bernama
The post Rujuk ibu bapa terlebih dahulu sebelum ambil tindakan displin: Kamalanathan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan