SPAD pertimbang ‘kad pemandu’ kepada operator Grabcar, Uber
MUAR, Rabu – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mempertimbangkan cadangan memperkenalkan sistem ‘Kad Pemandu’ kepada pemandu perkhidmatan Grabcar dan Uber.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh memandangkan pemandu yang terlibat adalah individu persendirian dan tidak mempunyai lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).
“Kita akan membentangkan perkara ini kepada kerajaan khasnya mengenai syarat-syarat mentransformasikan industri pengangkutan awam yang berasaskan konsep teksi agar tidak timbul perasaan tersisih termasuk golongan pemandu teksi (biasa) yang menganggap mereka dibebankan oleh sistem sewa beli atau pajak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan laluan baharu bas Ekspres Mayang Sari di Bukit Pasir, di sini hari ini. Turut hadir pemilik Mayang Sari Sdn Bhd Datuk Azman Mohd Arof.
Syed Hamid berkata SPAD akan mengadakan perbincangan lebih terperinci dengan pemain industri sebelum memuktamadkan keputusan berhubung cadangan itu.
SPAD dalam cadangan Program Transformasi Industri Teksi yang dikemukakan kepada kerajaan baru-baru ini antara lain menjelaskan tentang perlunya membenarkan dari segi undang-undang perkhidmatan Grabcar dan Uber serta menyamaratkan medan persaingan untuk pemandu teksi.- Bernama
The post SPAD pertimbang ‘kad pemandu’ kepada operator Grabcar, Uber appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan