SPRM, FBI kerjasama siasat 1MDB
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Jumaat – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa badan itu telah menjalinkan kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berhubung laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SPRM dalam satu kenyataannya hari ini berkata, kerjasama itu tertumpu kepada kemungkinan perbuatan penyelewengan dan pengubahan wang haram oleh seorang ahli perniagaan yang didakwa menipu 1MDB.
“Berhubung laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menjalinkan kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
“Ini kerana kedua-dua pihak telah mempunyai hubungan kerjasama yang lama sebelum ini.
“Berkaitan kerjasama yang dinyatakan di atas, ia tertumpu kepada kemungkinan perbuatan penyelewengan dan pengubahan wang haram oleh seorang ahli perniagaan yang dikatakan menipu 1MDB,” kata SPRM.
Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman memohon untuk merampas beberapa harta yang berkaitan 1MDB. Saman yang difailkan di mahkamah itu turut menyatakan lebih AS$3.5 bilion (RM14.16 bilion) dana 1MDB telah disalahgunakan.
Jabatan itu memohon untuk menyita aset yang ‘terbabit dalam dan boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa bagi mengubah wang yang telah dilesapkan daripada 1MDB’.
The post SPRM, FBI kerjasama siasat 1MDB appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan