Tabung Haji tak akan jual tanah di TRX
KELANA JAYA, Selasa – Tabung Haji bertegas untuk tidak menjual tanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memandangkan ianya dilihat mempunyai nilai tambahan yang tinggi bagi tempoh jangka masa panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah berkata, sejak mula pembelian tanah berkenaan adalah berdasarkan faktor komersial dan pihaknya telah membuat penilaian dalam jangka masa panjang.
“Sekarang juga kami ada tawaran yang tinggi, tetapi tidak mahu menjualnya kerana kami percaya dengan penghasilan nilai jangka panjang daripada pelaburan itu (tanah di TRX),” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Yayasan Tabung Haji di sini, hari ini.
Tabung Haji membeli tanah seluas 0.631 hektar itu pada harga RM188.5 juta iaitu RM2,773 bagi setiap kaki persegi.
Johan berkata, setakat ini Tabung Haji sedang berbincang dengan beberapa firma arkitek untuk konsep serta perancangan pembangunan yang akan dilaksanakan di tanah tersebut. – Bernama
The post Tabung Haji tak akan jual tanah di TRX appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan