Tabung Haji terus rayu kuota tambahan haji
YAN, Sabtu – Tabung Haji akan bermesyuarat bagi membincangkan soal tarikh yang sesuai untuk merayu dan menerima kuota tambahan jemaah haji sekiranya diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, berdasarkan pengalaman lalu, penawaran kuota tambahan oleh kerajaan Arab Saudi dibuat pada saat-saat akhir menyebabkan timbul kesulitan di peringkat Tabung Haji dan jemaah haji sendiri.
“Saya sudah panggil pihak Tabung Haji untuk cari satu tarikh tetap yang sesuai untuk rayuan kita diputuskan sebab saya melihat berdasarkan pengalaman lalu, kita lambat mendapat kuota tambahan.
“Bila sebut kuota tambahan akan terikat dengan urusan penerbangan, penyewaan penginapan tambahan, hak pendaratan dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan program pelepasan Larian Aspiring Jerai Geopark di Geotapak Titi Hayun, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, langkah kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat keselamatan baharu penggunaan biometrik 10 jari tangan susulan insiden serangan pengganas di beberapa lokasi awal bulan ini, wajar dipuji.
Jelasnya, langkah tersebut bukan bertujuan untuk menimbulkan kesukaran kepada jemaah haji namun bagi mengelakkan kemasukan pengganas yang boleh membahayakan nyawa jemaah haji. – Bernama
The post Tabung Haji terus rayu kuota tambahan haji appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan