Timbalan Naib Canselor UTeM alami saat genting di Turki

prof jai

SEPANG, Ahad – “Pengalaman berhadapan situasi genting ketika peristiwa cubaan rampasan kuasa di Turki semalam membuatkan saya lebih menghargai erti keamanan,” ujar Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Ir Mohd Jailani Mohd Nor.

Katanya, berada dalam keadaan suasana tegang dengan bunyi tembakan bertalu-talu dari Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki adalah peristiwa paling genting yang pernah dialami sepanjang hidupnya.

Mohd Jailani berkata, tembakan bertalu-talu itu juga membuatnya berasa khuatir andai ada peluru sesat yang boleh mengenai sesiapa sahaja di situ.

“Saya pasrah dan hanya berserah pada Allah ketika itu. Jadi saya mengambil keputusan walau apa pun yang terjadi saya akan tetap berlindung di lapangan terbang tersebut kerana saya merasakan ia adalah tempat yang paling selamat pada ketika itu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini setelah tiba pada pukul 5.10 pagi ini menaiki pesawat Turkish Airlines (TK60) bersama-sama 32 rakyat Malaysia yang lain.

Mohd Jailani berkata, beliau menaiki penerbangan dari Athens, Greece selepas menghadiri ‘International Congress in Sound and Vibration’ di negara itu pada 10 hingga 14 Julai lepas dan transit di Istanbul sementara menunggu penerbangan pulang ke tanah air.

Beliau dan penumpang lain kemudiannya terkandas selama 15 jam di lapangan terbang berikutan serangan konco-konco dalam Angkatan Tentera Turki ketika cubaan menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Mohd Jailani berkata, ketika suasana sangat kelam-kabut di lapangan terbang itu, semua rakyat Malaysia mengambil inisiatif untuk berkumpul di Pintu 303 dan beliau kemudian cuba untuk menenangkan diri.

“Ketika berkumpul sesama rakyat Malaysia kira-kira 40 orang di sana, kami saling menasihati agar pengalaman yang kami alami mampu membuatkan kita lebih menghargai keamanan yang ada di Malaysia.

“Selagi kita tidak pernah merasa berhadapan dengan situasi itu, selagi itulah kita tidak begitu menilai erti sebuah kemerdekaan…pentingnya menghargai dan mengekalkan keamanan,” katanya.

Beliau turut menceritakan bahawa situasi paling menakutkan adalah ketika kedengaran bunyi jet pejuang terbang rendah di lapangan terbang itu, dan beliau diberitahu ketika itu pesawat Presiden Erdogan sedang mendarat.

Dalam pada itu, Kedutaan Turki di Malaysia dalam kenyataan semalam mengulangi bahawa kerajaan pimpinan Erdogan masih berkuasa dan menafikan cubaan rampasan kuasa di negara itu berjaya dilaksanakan. – Bernama

The post Timbalan Naib Canselor UTeM alami saat genting di Turki appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?