Tingkatkan pensijilan pekerja pengalaman untuk lahirkan tenaga kerja mahir
KUALA LUMPUR, Jumaat — Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa Kementerian Sumber Manusia supaya meningkatkan usaha untuk lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi mendapat pensijilan berdasarkan pengalaman dan tahap kecekapan mereka.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsudin Bardan berkata, walaupun ada usaha kementerian itu menerusi Pengiktirafan Pembelajaran Terdahulu (PPT) sejak 2009 bagi individu yang memiliki kepakaran dalam sesuatu bidang tetapi tidak mempunyai sijil, ia tidak memberikan banyak kesan dan tidak memberikan kelebihan kepada ramai pekerja.
Katanya, ketika ini sambutan untuk skim PPT daripada majikan dan pekerja tidak begitu baik, selain pelaksanaannya tidak menyeluruh dan belum lagi mencapai matlamat yang diingini.
Beliau berkata, jika skim itu dilaksanakan dengan baik, ia akan membantu meningkatkan bilangan pekerja berkemahiran, sekaligus menjadi tarikan untuk negara-negara lain melabur di Malaysia dan membawa masuk teknologi baharu.
” Skim ini (PPT) tidak begitu ketat (untuk pekerja mendapat pensijilan) namun pihak yang terlibat iaitu majikan tidak begitu peka dengan skim-skim nasional sedia seperti itu,” katanya kepada Bernama.
Tujuan PPT adalah untuk mengiktiraf kemahiran individu berdasarkan pengalaman yang ada dengan memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)/ Diploma Kemahiran Malaysia (DKM)/ Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM)/ Penyata Pencapaian (PC).
Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 40 peratus pekerja berkemahiran tinggi daripada seluruh tenaga kerja dalam usaha menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Ketika ini negara hanya memiliki 28 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Shamsudin berkata, adalah perlu untuk meningkatkan kesedaran kepada majikan supaya menyediakan sijil kemahiran kepada pekerja mereka yang mempunyai kemahiran dan kepakaran yang tinggi berdasarkan pengalaman kerja mereka tanpa perlu mengikuti latihan serta kursus tertentu.
Katanya, melalui kemahiran yang disijilkan seperti SKM Tahap 1 dan Tahap 2 serta kelayakan lain membolehkan pekerja berpengalaman mempunyai nilai yang tinggi dalam pasaran kerja.
“Ada antara mereka ini yang berkhidmat dan bekerja lebih 20 hingga 30 tahun tetapi tidak diberikan sijil yang melayakkan mereka sebagai pekerja mahir.
Contohnya, mereka bekerja sebagai operator mesin tetapi tidak memiliki sijil meskipun berkemahiran dalam mengendalikan pekerjaan tersebut,” kata Shamsudin.
Katanya penggunaan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi sangat diperlukan negara, tambahan pula dalam tempoh beberapa tahun akan datang banyak perubahan akan berlaku malah keperluan teknologi juga turut berbeza dan bertambah maju.
“Sejajar dengan itu, usaha memantapkan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional juga harus diperluaskan dengan memperbanyakkan tempat latihan bagi membentuk lebih ramai tenaga kerja tempatan berkemahiran demi pembangunan negara,” katanya. — Bernama
The post Tingkatkan pensijilan pekerja pengalaman untuk lahirkan tenaga kerja mahir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan