Tun Dr Mahathir seru ahli UMNO tinggalkan parti
Oleh RZ
KULIM, Sabtu – Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru ahli UMNO supaya meninggalkan parti itu dan bersiap sedia menyertai parti baharu yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi bagi memastikan kelangsungan survival, khususnya orang Melayu, rakyat dan negara.
Beliau berkata, parti baharu ini akan meletakkan calon yang menggabungkan muka baru dan lama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi berdepan Barisan Nasional (BN) serta membersihkan amalan tidak baik yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita telah menyenaraikan kesalahan Najib melalui Deklarasi Rakyat dan saya ucap terima kasih kepada mereka yang menandatangani Deklarasi Rakyat dan sekarang ini kita nak supaya tandatangan borang untuk jadi ahli parti baru ini.
“Saya harap semua… jangan seorang pun tertinggal. Kalau ada ahli UMNO pun.. keluarlah daripada UMNO… UMNO tak wujud lagi.. saya sayang pada UMNO… saya masuk UMNO tahun 1946.
“Kita tak boleh nafi UMNO berjasa kepada negara.. Tetapi bila Najib ambil alih UMNO… ia tidak lagi jadi UMNO. Perjuangan untuk bangsa, agama dan negara telah diketepikan.. Hari ini, dasar perjuangan UMNO ialah untuk menentukan Najib tidak dihadapkan ke mahkamah kerana mencuri wang negara,” katanya berucap pada perhimpunan menjelaskan isu-isu semasa di Karangan, Kulim, malam tadi.
Lebih 2,000 penduduk tempatan hadir pada majlis bermula jam 9 malam yang turut menampilkan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal.
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, turut hadir pada majlis yang tamat kira-kira jam 1 pagi tadi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat perlu mengalahkan BN pada pilihan raya akan datang dan memberi kemenangan kepada parti baharu serta rakan-rakannya untuk memerintah negara.
“Dalam pilihan raya akan datang kita akan letak calon-calon baru dan lama.. yang lama pun ada sikit.. tapi kita cari yang baru supaya mereka ini bersihkan parti dan tak buat lagi amalan seperti yang Najib lakukan… kita ambil masa sikit nak daftar parti ini.. tapi insya-Allah bila kita dah siap sedia.. kita nak terima semua orang,” katanya.
Pada majlis itu Tun Dr Mahathir turut menceritakan mengenai skandal 1MDB, pemindahan wang syarikat pelaburan negara itu ke beberapa firma lain sebelum wang itu dimasukkan ke akaun peribadi Najib di dalam Ambank, serta pengesahan skandal yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
The post Tun Dr Mahathir seru ahli UMNO tinggalkan parti appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan