Veteran ATM Perlis kecewa rakyat mudah terpengaruh anasir keganasan
KANGAR, Jumaat – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) negeri Perlis melahirkan kekecewaan dan perasaan marah apabila ada rakyat di negara ini yang mudah dipengaruhi anasir keganasan seperti gerakan militan Daesh.
Yang Dipertuanya, Datuk Idrus Kassim berkata, keadaan itu menggambarkan nilai keamanan yang dikecapi selama ini hasil pengorbanan anggota keselamatan terdahulu seolah-olah tidak dihargai.
“Negara sudah merdeka, keamanan dan kemajuan sedang dinikmati, segala usaha dibangunkan untuk manfaat generasi akan datang. Tiba-tiba muncul pula rakyat kita yang lemah jati diri terpengaruh dengan aktiviti ganas kumpulan militan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Lebih mengecewakan apabila ada anak-anak muda yang sepatutnya menjadi generasi penyambung kemerdekaan dan keamanan ini sanggup memusnahkan perjuangan anggota keselamatan terdahulu kerana terlibat dalam kegiatan ekstrem seperti Daesh.
Idrus mengulas situasi semasa apabila negara berhadapan pelbagai ancaman keganasan termasuk insiden letupan bom di ibu negara baru-baru ini.
Sehubungan itu, anggota persatuan sedia bekerjasama dengan anggota keselamatan untuk terus menabur bakti menjaga keamanan negara daripada sebarang ancaman keganasan termasuk kumpulan militan Daesh.
“Memikirkan kepada hakikat inilah kami tidak sanggup berdiam diri malah walaupun dalam usia yang semakin lanjut, kami akan gunakan sepenuhnya pengalaman yang ada dalam bidang ketenteraan bagi memusnahkan puak-puak tersebut,” katanya.
Walaupun dalam kalangan anggota persatuan kini sudah berada di usia emas, tetapi semangat mempertahankan kedaulatan negara serta mahu melindungi tanah air masih subur mengalir dalam diri, kata Idrus.
“Pelbagai situasi bertempur dengan pengganas komunis semasa zaman darurat telah kami lalui, ada yang pernah berperang ketika zaman konfrontasi dengan Indonesia sehingga cedera, kudung kaki terkena jerangkap samar dan sebagainya.
“Namun, sebarang bahaya tidak pernah menjadikan kami gentar, berputus asa serta tidak sesekali akan berundur walau maut menanti, semata-mata demi tugas pada negara,” katanya.
Menurut beliau, di Perlis sahaja terdapat lebih 3,000 orang veteran tentera yang bersedia menabur khidmat bakti mengikut kudrat yang ada bagi mencapai hasrat tersebut termasuk memberi maklumat kepada pihak berkuasa jika mengesyaki ada individu yang mengancam keselamatan negara.
Katanya, memandangkan kedudukan Perlis bersempadan dengan negara jiran, tumpuan turut diberi di kawasan terbabit agar tidak ada mana-mana pihak menceroboh masuk untuk mengancam negara atau menyeludup masuk pelbagai barangan merbahaya seperti senjata api dan dadah. – Bernama
The post Veteran ATM Perlis kecewa rakyat mudah terpengaruh anasir keganasan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan