Wakil rakyat DAP guna politik kebencian

Mahdzir_Khalid2308g

KUALA NERANG, Ahad – Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menggunakan politik kebencian untuk menghancurkan perpaduan sesama kaum yang telah dibina sejak 60 tahun lalu apabila mempersendakan sambutan Aidilfitri dalam laman sosial Facebooknya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menyifatkan tindakan pemimpin dari DAP itu biadab selain tidak menghormati budaya dan agama yang diamalkan dalam negara berbilang kaum sejak dahulu lagi.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata program perpaduan yang dilaksanakan di sekolah dalam negara juga tidak akan berjaya sekiranya kepimpinan DAP terus menjadikan politik sebagai medan untuk meruntuhkan perpaduan.

“DAP sebelum ini cakap untuk perjuang semua kaum tetapi sebaliknya berlaku, di mana (pemimpin parti itu) tidak menjaga sensitiviti orang Melayu Islam. Ini menunjukkan kepimpinan DAP tidak matang.

“Mudah bagi Nga yang meminta maaf selepas mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak. Kita perlu berpolitik dengan cara yang betul dan bukan mengutuk budaya dan agama orang lain,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Padang Terap di Padang Kerasak, Naka, hari ini. Ia dihadiri lebih 20,000 orang.

Pada Selasa lalu, Nga memuat naik status gambar mempersendakan Aidilfitri dengan menyamakan sedekah duit raya sebagai rasuah dan ‘dedak’.

Mahdzir berkata, perpaduan yang diasaskan sejak 60 tahun lalu perlu dijaga dengan baik dan generasi akan datang perlu menjaganya agar tidak dicemari dengan agenda politik parti pembangkang.

Katanya di peringkat sekolah pihak kementerian mempunyai program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP), di mana program ini memberi pendedahan kepada pelajar sekolah sebagai cara untuk memperkukuhkan perpaduan.

Beliau berkata, parti pembangkang perlu membantu usaha kerajaan untuk mengekalkan keharmonian perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan bukan menanam politik kebencian dalam kalangan rakyat.

“Pemberian duit raya merupakan tradisi masyarakat di negara ini ketika sambutan Aidilfitri dan sama juga bagi masyarakat Tiong Hwa yang memberi ang pau kepada kanak-kanak. Ini perkara yang sering kita lakukan sejak dahulu lagi,” katanya.

Di TAIPING, Naib Ketua Umno Bahagian Taiping Datuk Mohamed Zahir Abdul Khalid berkata perbuatan Nga itu mencerminkan dirinya sebagai seorang yang berperibadi buruk.

Beliau berkata, sebagai seorang Anggota Parlimen di negara berbilang kaum, Nga sepatutnya menghormati semua perayaan.

“Dalam kita menyambut perayaan ini, perpaduan dan keamanan amat penting,” katanya kepada Bernama.

Di REMBAU, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perbuatan menghina agama dan perayaan mengikut kaum boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di negara ini, jika tidak dibendung.

Sehubungan itu, katanya, perbuatan Nga mempersenda perayaan Aidilfitri tidak boleh diterima langsung di Malaysia, yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Walaupun pembangkang tidak sukakan Umno atau Barisan Nasional (BN), jangan sampai menghina agama,” katanya sambil menganggap perbuatan Nga sebagai cubaan meraih publisiti murahan.

“Kalau kita terus menghina agama orang lain, negara kita tidak akan ke mana dan yang pasti kita akan menuju ke arah kehancuran,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkannya di Kampung Tanjung Rantau di sini, hari ini.

Turut berangkat hadir Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud serta anakanda baginda, Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-‘Abidin. – Bernama

The post Wakil rakyat DAP guna politik kebencian appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?